Monday, January 24, 2011

nota cinta saya untuk kamu


Persoalan cinta.
Hati dan fikiran saya sudah masuk ke jaringan yang rancu.Berfikir tentang cinta hanya menambah buncah di tasik hati saya.Mencari dan terus  mencari jawapannya,dari mana ia bermula,mengapa ia perlu,siapa yang memulakan dan bagaimana ia berakhir.Namun akhirnya,saya tiada menemui jawapannya.Benar ianya sangat rumit untuk dirungkai.


Saya cuma ingin menyelami cinta yang bagaimana remaja kita sedang maksudkan?Adakah mereka dambakan cinta sekadar sebuah keseronokan hingga terbawa ke ranjang,atau cinta yang sekadar peneman dan ubat kesunyian atau mungkin cinta yang mereka idam-idamkan akan membawa ke gerbang pernikahan?Lalu saya timbulkan persoalan di sini,sejauh mana orang sedang kita cintai dijamin akan menjadi suami kita?


Tiada jawapan.


Keindahan sebuah cinta.


Tanpa pengalaman keluar berdua-duan dengan kekasih,makan bersama sepinggan dengan si dia,bergambar bersama kemudian menatap gambarnya bila teringatkannya,panggil-memanggil melalui telefon,saya tidak bisa merasai keindahan sebuah cinta?Mengapa tidak?


Saya melihat keindahan cinta itu digambarkan melalui ceritera cinta,drama korea,Melayu,Indonesia dan paling berkesan cerita Hindustan.Ya,melihat cerita cinta dalam kaca mata untuk memahami ragam manusia.Kerana,saya sedang melalui kehidupan dengan manusia.Lihatlah cerita Hindi,lagunya sahaja mampu membuatkan manusia yang mendengar mampu mengalirkan airmata tanpa perlu memahami maknanya!Asyik benar cinta.


Lihat sahaja kehebatan cerita mohabbatein yang bertuhankan dan berkiblatkan cinta manusia semata-mata.Bagaimana digambarkan cinta mampu melebur ego,membahagiakan insan yang sedang berairmata dan sebagainya.


Bukan penafian


Perlu di sematkan dalam sengit ingatan yang paling dalam wahai remajaku,cinta itu bukan milik kamu,bukan milik kamu!Cinta itu milik Allah.Cinta adalah rahmat dan kasih sayangNya kepada para hambaNya.Cuba bayangkan,andai tiada perasaan cinta yang di cipta dalam jiwa manusia,bukankah dunia kita akan gersang dan menjadi huru-hara?


Manusia akan membunuh sesama  manusia kerana tiada cinta dan sayang sesama mereka,manusia membunuh binatang tanpa perasaan kerana hilang rasa belas kasihan,manusia merosakkan keindahan alam kerana semuanya tiada makna.


Di sini,makna cinta perlu di perhalusi.


Kalau kita soroti kembali sirah,cinta itu sebenarnya bermula di Syurga.Kerana cinta,tersentap jiwa Adam tatkala pertama kali disapa Hawa.Lihat,betapa tingginya martabat cinta yang Allah jadikan,namun dek kerana syaitan yang menggoda datuk kita Adam A.S,maka kita tersingkir sekarang di bumi.Maka,sekarang sudah menjadi kewajipan dan tanggungjawab kita menjaga kesucian cinta untuk mengembalikannya semula  ke syurga.Bukankah ini satu amanah?


Namun,agak hairan ya mengapa ramai sungguh remaja hari ini yang berkomplot dengan syaitan dan tergamak menghumban cinta ke jurang neraka.Wahai remaja,sekali lagi ku tanya,cinta yang bagaimana kau maksudkan sebenarnya?

Saya langsung tidak menafikan keindahan dan kesucian sebuah makam dan martabat cinta.Kerana menghargai sebuah cintalah saya tidak mahu remaja bermain-main dengan cinta.Kerana saya tidak sanggup lagi mendengar kerana cinta,berapa ramai maruah gadis yang akan ternoda,berapa ramai anak yang tak bernoda dihabisi nyawanya di tangan manusia yang hanyut diladung secebis nafsu kerana cinta.Saya sudah penat melihat ceritera cinta palsu ini.


Cinta yang bukan cinta.


Ingat ya,yang kamu kelek anak dara orang ke panggung wayang dan taman-taman,itu bukan cinta yang datang daripada Pencipta cinta yang Hak.


Yang kamu tiduri itu di ranjang tanpa sebarang ikatan,itu bukan cinta!


Yang kamu makan bersuap-suap,kamu pegang-pegang,bertukar-tukar hadiah dan bunga,itu pun bukan cinta!


Yang kamu saling bermesej-mesej,kamu telefon siang malam,kamu nasihat-nasihat dengan bersalut dan bertopengkan agama pun itu bukan cinta!


Aduh,susahnya mencari makna cinta!


Beberapa hari yang lepas,saya bersembang dengan seorang sahabat tentang masalah ini,ya masalah ini.Saya meminta pendapatnya tentang cinta yang sudah mendapat restu keluarga dan dia pun berkongsi sedang menghadapi masalah yang sama dengan kawannya.
“susahkan bila ibu bapa sudah bagi lampu hijau pada anak masing-masing.Macam mana mereka boleh jamin bahawa lelaki dan perempuan itu akan jadi menantu mereka?”.


Persoalan itu tak dapat saya jawab,


“Nak tegur salah,tak tegur salah.Aduh,lemahnya iman”.


Itulah persoalan yang membelenggu.Namun,suka saya ingatkan kepada remaja yang telah mendapat lesen tersebut,ia bukan jaminan kamu boleh bercinta sesuka hati kerana ia sesen pun tidak menghalalkan perhubungan itu.


Kenapa?


Dalam Islam,hanya dengan akad sahaja yang menghalalkannya.


Bukan lesen daripada ibu bapa,bukan cinta islamik yang kau salutkan dengan agama,bukan cinta yang berselindung di sebalik jubah dan tudung labuh yang cuba kau sorokkan.Bukan semua itu.


Dilema daei


Suka saya memetik kata-kata daripada blog Az-Zariyyat,Cinta telah membahagikan manusia kepada tiga golongan,

1. golongan yang menyokong cinta (couple). Mereka berpendapat cinta adalah fitrah dan suatu bukti kedewasaan yang mesti ditempuh oleh setiap manusia untuk memastikan mereka melalui proses kehidupan yang normal.” Tak jantan lah kalau tak bercouple!”
2. golongan yang menolak cinta remaja (couple). Selalunya mereka ini dilabel sebagai budak-budak dakwah, yang sentiasa bersiap siaga dengan hadis dan ayat Quran di kepala untuk ‘menembak’ golongan yang bercouple.
3. golongan yang menerima cinta (couple) dalam ruang lingkup tertentu. Bermakna perlu ada syarat dan adab dalam bercinta seperti dikemukakan dalam dialog di atas. Biasanya mereka dilihat sebagai golongan yang berfikiran terbuka dan berpandangan jauh.Namun golongan ini sebenarnya tiada pendirian,mereka kata boleh bercinta asal jaga syariat dan adat.Persoalannya,wujud atau tidak cinta yang bertunjangkan syariat Allah tanpa akad?
Tidak kira di manakah golongan kita berada,ingat, bersedialah kita dengan hujah kita kalau disoal Allah mengapa kita berpendirian dalam golongan itu.
Pendapat saya,golongan yang anti-kapel lebih cenderung untuk melihat fenomena cinta ana-enti.Dimana mereka lebih suka menyanjung karya-karya seperti cerpen cinta islamik yang sedang berlambak di internet mahupun pasaran.
Bukankah sebenarnya cara ini juga membuatkan mereka ada rasa juga untuk bercinta?
Motiwasi?Berapa peratus sebenarnya akan memberi kesan kepada kita?Kenapa tidak kita ambil sirah dan teladan sebagai motiwasi untuk menjadi hati kita.
Cinta manusia yang membawa kepada cinta ilahi.
Terkadang cinta kita sesama insan
bisa mengundang keredhaan Tuhan
Adakah cinta Tuhan yang dimaksudkan cinta yang lahir selepas kita puas menikmati cinta manusia,lalu kecewa dan membawa hati lara untuk mengadu kepada Allah?Adakah begitu yang kau maknakan dengan cinta ilahi?
Cinta Ilahi
Dengan apa sebenarkan kita maknanya cinta agung ini?Adakah dengan hanya dengan nukilan puisi-puisi yang puitis dan romantis?
Sesekali tidak,kerana cinta Allah adalah hasil daripada puncak keimanan dan akan diterjemahkan melalui perlakuan dan amalan.Hanya cinta ilahi sahaja yang akan mendiam kembali di dalam syurgaNya.Lalu,adakah dengan memilih cinta manusia yang belum tentu ada redhaNya untuk kita kemudikan hati ini ke syurga?
Atau kita memilih dengan bermunajat,mengenalNya,merasai keagunganNya,membuatkan kita tahu hakikat sebenar diri kita hanya seorang hamba.Umpama hamba yang menagih simpati tuannya,kita merayu dan memohon cinta Tuhan yang telah menciptakan kita.Kita yang menentukan jalannya.
Nampakkah (wahai Muhammad) keburukan keadaan orang yang menjadikan hawa nafsunya: tuhan yang dipuja lagi ditaati? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya jangan sesat? (43)-Al-Furqan
Pesan saya
Kalau kamu mahu sangat menyintai manusia,pastikan dia yang kau cintai itu adalah hamba yang disayangi dan layak dicintai Allah.Ada jaminankah dia akan membawamu ke syurgaNya dengan cintanya?Apakah engkau layak di cintai Allah sekiranya engkau meneguk nikmat cinta si dia?

Persoalan itu perlu kita tanya sejujurnya pada hati kita supaya kelak jangan kerana setitis cinta,hidup kita akan merana.Berfikirlah sedalam-dalamnya sebelum kau ungkapkan kalimah cintamu pada si dia kerana ia juga turut bakal di persoalkan.
Kerana ia fitrah,maka cinta itu jangan di tentang,jangan pula dilayan.
Seeloknya baik dilupakan.Sibuk-sibukkanlah diri dengan membaca,aktiviti persatuan dan membantu menyelesaikan masalah umat yang tak berkesudahan.Paling tidak,kalau tidak mampu juga,cukuplah kita bermuhjahadah dan mengislahkan diri kita sebelum menjadikan kita seorang yang layak di cintai oleh hambaNya.
Pada saya,daripada saya melayan ceritera cinta,cerpen-cerpen cinta agama yang hanya akan menggelodakkan lagi gelora cinta di jiwa,elok saya membaca kisah orang ‘sudah bercinta’ di alam rumah tangga.Kerana,cinta sesudah akad itu sebenar jauh berbeza dengan keindahan cinta yang kita bayang-bayangkan.
Ya,kita bakal hidup dengan seorang manusia yang berlainan dengan kita walaupun kita seringkali berkata bahawa kita sudah ada persefahaman dengannya.Asam garam mereka yang ‘sudah bercintalah’ yang sebenarnya membantu mematangkan kita untuk memahami hakikat setitis cinta manusia .
Bukankah untuk menuju sebuah pernikahan,memerlukan persiapan mental selain fizikal.Maka,berhentilah berbicara soal cinta sebelum nikah semata-mata,sebaiknya elok persiapkan diri dengan ilmu rumahtangga.(pada yang sudah layak sahaja)

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...