Monday, January 24, 2011

Nilai sebutir airmata Di sisiNya


Menasihati orang lain itu mudah,namun memberi nasihat kepada diri sendiri amatlah payah.Bayangkan,bercakap pada hati tetapi seolah-olah ia tidak didengari.Amat pedih sekali!Itulah yang Allah ajarkan pada saya hari ini.

Takdir itu adalah suatu tulisan nasib yang telah dirancang olehNya.Ianya diluar pengetahuan kita.Hakikatnya,takdir itu urusan Tuhan,bukan kerja manusia.Kita semua  telah mafhum bahawa adakalanya Allah menghadirkan kesedihan pada kita tanpa sebarang isyarat.Adakala dugaan itu hadir dikala kita tidak bersedia.Dan semuanya berlaku diluar kemahuan kita.

Sebagaimana Dia telah menganugerahkan kita nikmatNya dari sudut yang tidak dijangka-jangka,begitulah berkuasaNya Dia menguji kita di waktu yang Dia rahsiakan.Tidak kira kita baru enak-enak gembira seketika tadi,sejenak ada rasa sedih yang mencengkam sanubari.Langsung menghentak pergi rasa gembira yang kita miliki.

Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menyebabkan (seseorang itu bergembira) tertawa, dan menyebabkan (seseorang itu berdukacita) menangis; (43)-Al-Najm

Bahawa sesungguhnya Dia hanya mahu mendidik kita bahawa segala apa yang kita miliki itu hanya sementara pinjamannya.Bahkan,kalau tidak diusik olehNya,mungkin selamanya kita akan rasa memiliki segalanya.

Berdiri di tikungan ujian umpama bersedia untuk rebah.Tidak tenang dengan jiwa yang sedang berkocah.Fikiran juga semakin rancu.Mulalah berargumentasi dengan diri sendiri,tetapi perlu berkali-kali.Selama ini saya berkata pada orang lain,sabarlah duhai hati,Allah sedang mengujimu.Dan hari ini saya perlu berkata pada hati sendiri.Tapi sedih itu,tidak jua pergi.

Bagaimana mahu mengenal diri kita?Jawapannya-tika diuji dengan kalam sendiri.Selama ini,lidah yang tidak bertulang itu hebat mengukir bicara dan butir nasihat buat insan lain,dan sekarang kita perlu menghadaminya kembali.Selama ini setiap airmata orang lain kita sapu dengan jari,kesedihan mereka kita larik dengan doa,simpati ke atas mereka kita siram dengan nasihat.

Nah,saat kita sendiri diuji,apa yang kita lakukan?

Manusia memang begitu.Selalu lupa pada dirinya.Alpa tika diberi nikmat,goyah bila ditelus duga.

Apabila ia ditimpa kesusahan, dia sangat resah gelisah; (20)-Al-Ma’arij

Saya cuba beralih kepada youtube,menonton video untuk cuba menghilangkan fokus pada kesedihan.Tetapi tidak mudah.Berkali-kali terbaring ke kanan dan kiri.Saya pujuk lagi,bila Allah mengambil sesuatu daripada kita,Dia akan menggantikan dengan sesuatu yang lebih baik.Dia itu Maha Adil.Dia itu Maha mengetahui.

Belum puas lagi dengan bujuk rayu itu,saya memohon pula,Tuhan gantikan ia dengan segera.Segera dan segera agar hati ini segera tenang.

Tapi kemudian rasa menyesal pula bertamu.Rasa malu sebenarnya pada Tuhan.Selama ini Dia memberi segalanya dengan melimpah ruah,bukan sedikit-sedikit,namun tidak pula bersegera  sujud dan bersyukur pada Dia.Namun sesekali Dia mahu menguji dengan menarik nikmat seketika,saya terus mohon digantikan segera.Aduh,Allah,kejam benar hambaMu ini.

Dan benarlah Al-Baqarah di ayat ke 45,
Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan solat.

Itu sahaja pengubat resah dan gundah.Allah yang memberikan hambanya dugaan,Allah jualah penyembuh kepada dugaan itu.Dan sabar itu perlu,sebagai tasdik iman.

Tatkala Dia menguji iman kita,hanya Dia sahaja yang tahu tahap kesabaran dan kekuatan kita.Dia itu tidak pernah menzalimi hambaNya.Allah itu telah berjanji pada kita bahawa tidak akan dibebani hambaNya dengan sesuatu yang diluar kemampuannya.Ya,Dia sebenar Yang Maha Penyayang dan Pengasih.

Bila kita di uji,segala isi hati kita hanya Dia yang tahu.Ya,hanya Tuhan sahaja tahu.Setiap sujud yang kita berikan,ketenanganlah yang Dia ganjari.Dan,sesekali diberi ruang untuk merasai nikmat sebutir tabah dan secebis sabar,ianya bukan perkara biasa.

Ingatlah,Dia berhak menghamparkan bahagia,Dia juga berhak membentangkan duka.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...