Saturday, September 1, 2012

CERPEN - RELAKAN DIA MENCINTAIKU


Aku memandang sayu seekor anak kucing yang sedang mengiau kesakitan. Hatiku bagaikan ditusuk sembilu. Air mata yang bergenang di tubir mata aku kesat dengan hujung jari manisku. Hujung tudungku yang mengikut alunan angin aku biarkan saja.

“Kucing, kenapa manusia kejam?” Aku menjeling Toyota Prius berwarna putih metalik yang berhenti tidak jauh dari tempat aku berdiri. Sepertinya aku kenal kereta itu.

Kucing yang sudah berlumuran darah itu aku angkat lalu aku usap penuh kasih sayang. Kasihan kucing yang tidak bersalah ini. Si pelanggar sudah lesap entah ke mana. Semoga dia mendapat balasan atas apa yang dia lakukan.

“Cik..”

Terus aku berpaling. Lidahku kelu seirama dengan jantungku yang berdegup kencang. Lelaki itu juga sama. Berdiri kaku dan tidak henti memandang wajahku.

“Zalfa.” Namaku diserunya lembut. Aku masih pegun di situ.

“Kenapa ni?” soalnya.

“Err. Kucing ni luka,” tuturku perlahan sambil mengusap kepala kucing itu.

Lelaki itu mendekatiku. Terlalu hampir denganku hingga jelas kedengaran desahan nafasnya. Aku mengundur beberapa langkah ke belakang. Dia memandangku seketika sebelum turut menapak ke belakang.

“Jom saya bawa ke klinik!”

Aku tiada pilihan saat ini. Lantas aku hanya diam tanpa kata.

Sepanjang perjalanan, aku hanya membisu. Membuang pandang ke luar tingkap. Kucing yang berada di dalam pelukanku sudah terlena. Entah mengapa aku berasa perjalanan ke klinik haiwan sungguh lama. Lelaki tampan di sebelahku aku lihat begitu khusyuk dengan pemanduannya.

Dua minggu lalu, aku bertemu dengannya. Ya! Bertemu secara tidak sengaja. Aku hairan kenapa lelaki ini berada di Kedah dan bukannya di Kuala Lumpur. Tengku Khalish Eshan. Lelaki yang berjaya mencuri hatiku dalam diam. Lelaki yang berjaya mengingatkan aku dengan memori lama yang sungguh menyakitkan. Ah! Persetankan semua itu.

“Kau sihat?”

“Sihat.”

Bibirnya melemparkan senyuman kelat. Jari-jemarinya mengetuk stereng kereta di kala lampu isyarat berwarna merah.

“Kenapa tengok aku macam nak telan?” Ajunya dan mata itu terus memandang dalam anak mataku. Aku terkesima lalu menunduk malu. Wajahku merona merah.

“Saya.. saya..” Tersekat-sekat aku menjawab soalannya. Sesaat kemudian, dia menggoyangkan jarinya.

“Tak payah jawab soalan aku. Aku cuma takut aku terluka dengan jawapan tu.”

Kenyataannya membuatkan darahku tersirap. Dia bagaikan memerliku dalam diam. Ya! Dia takut dia terluka seperti dua minggu lalu. Aku menghela nafas. Menyandarkan tubuh pada kerusi kereta lalu memejamkan mata. Peristiwa itu terus berlegar-legar di fikiranku.

*****

Jalan yang berdebu aku susur dengan perasaan gembira. Mana tidaknya. Aku sudah berjanji dengan ayah untuk membawanya keluar. Tudungku yang bertiup dek angin yang kencang aku pegang erat. Jam using pada pergelangan tangan aku kerling. Sudah pukul 6 petang.

Langkahku terhenti tatkala terlihat sebuah Toyota Prius berwarna putih metalik tersadai elok di tepi jalan. Tingkapnya terbuka. Hatiku tiba-tiba digasak rasa ingin tahu. Lantas aku mendekati kereta itu. Seorang lelaki sedang terlena di tempat pemandu.

Aku mengerutkan dahi. Benarkan dia terlena?

“Kenapa encik tidur di sini?” soalku lantang tetapi tiada jawapan. Dengan menggunakan beg sandangku, aku menggerakkan lelaki itu tetapi tiada balasan. Aku mencubit sedikit bahunya tetapi dia masih menutup mata. Aku risau.

“Sakit,” ucapnya lemah. Sakit? Aku belek wajahnya. Tiada langsung luka.

“Sejuk..” Adakah dia demam? Aku meletakkan tanganku yang berlapik di atas dahinya. Panas! Apa yang harus aku lakukan?

Dompetnya di atas dashboard aku pandang. Pasti ada alamat rumahnya. Dompetnya aku buka. Telahanku benar. Tercatat alamat rumahnya. Aku menolak lelaki itu ke tempat sebelah. Giliran aku berada di tempat pemandu. Ini ialah aku. Ada lesen kereta tapi tak ada kereta.

Kereta berhenti di hadapan sebuah rumah. Bagaikan istana. Lelaki di sebelahku sedang terlena. Aku membuka pintu kereta. Mendekati pengawal keselamatan.

Aku memegang pipiku yang ditampar. Apa salahku sekarang ini?

“Kau buat apa dengan abang aku?” soalnya. Aku kenal suara ini. Adeeba! Rupa-rupanya lelaki tadi abang Tengku Natrah Adeeba.

“Saya tak buat apa. Saya cuma hantar dia balik,” terangku. Ruang tamu yang besar dan luas ini tiba-tiba bagaikan sempit dan gelap.

Menyesal pula aku rasakan kerana membantu lelaki itu tadi. Sudah 8 tahun berlalu. 8 tahun aku tidak berjumpa dengan wanita bernama Adeeba ini. Selepas aku disuruh berambus, aku terus keluar daripada sekolah itu.

Sekarang, dia muncul kembali dalam hidupku. Memegang watak sebagai seorang wanita yang kejam. Dan aku memegang watak sebagai seorang wanita yang selalu dianiayai.

“Tipu!” Jeritnya.

“Saya cakap benda benar. Kenapa awak tak pernah percayakan saya? Dulu, awak buli saya. Awak suruh saya berambus dari sekolah tu. Saya berambus. Awak nak apa lagi?”

Tiada jawapan untuk soalanku. Sebaliknya dia ketawa. Sumbang saja bunyinya. Adeeba mendekatiku. Hujung tudungku dipegangnya.

“Kau rupanya, Nurul Zalfa. Ingatkan kau dah mati. Masih hidup rupanya.”

“Ya! Saya masih hidup. Masih bernafas dan masih bahagia meskipun bahagia itu sedikit demi sedikit hilang disebabkan awak!” Lurus saja aku menudingkan jadi ke arahnya. Adeeba membengkokkan jari yang aku tuding.

“Memang! Aku bahagia bila kebahagiaan kau tu hilang. Silap aku dulu sebab buli kau sikit. Sepatutnya aku buat kau mati!”

“Kenapa awak begitu bencikan saya? Apa salah saya? Saya tak pernah kacau hidup awak,” luahku kesal.

Wanita di hadapanku ku ini masih seperti dulu. Baik dari segi gaya atau suara. Patutlah dia ini senang saja merosakkan beg sandangku. Lihat saja rumah yang didiaminya. Bagaikan istana. Jika aku bekerja seumur hidup pun belum tentu aku mampu memiliki rumah sebesar ini.

Namun aku bersyukur meskipun aku tak sekaya dirinya. Aku ada ayah. Itu sudah cukup.

“Kau nak tahu sebab apa aku bencikan kau? Kau nak tahu?”

Aku hanya terdiam.

“Sebabnya cukup mudah. Sebab abang aku cintakan kau, bodoh! Kau rampas abang aku. Masa kau belum datang sekolah tu, hidup abang aku dihabiskan bersama aku saja tapi bila kau datang, semuanya punah. Abang aku dah tak macam dulu. Semua sebab kau!”

Aku terpana. Siapakah abang Adeeba? Kenapa aku tidak pernah tahu dia mempunyai abang?

“Abang awak siapa?”

Matanya merah. Dia mencekakkan pinggang.

“Kau tanya siapa abang aku? Tengku Khalish Eshan. Abang aku tu lelaki yang kau jumpa belakang sekolah dulu. Lelaki yang bayarkan bil hospital ayah kau. Kau memang tak guna. Perempuan sial. Perempuan..” Kata-katanya tidak habis. Seorang lelaki melayangkan penampar di wajahnya. Aku tergamam.

Lelaki itu. Lelaki yang aku jumpa di belakang bangunan sekolah abang Adeeba rupanya. Lelaki yang aku cintai dalam diam. Patutlah Adeeba begitu membenciku. Aku pasti dia sangat rapat dengan abangnya sehingga tidak mampu menerima perempuan lain.

“Deeba jangan melampau. Abang tak pernah ajar Deeba hina orang.” Sudah kebahkah dia daripada demam?

Adeeba memegang pipinya. Wajahnya merah menyala. Air matanya sudah mengalir laju.

“Abang yang melampau! Sebab perempuan ni, abang pukul Deeba! Deeba benci abang. Deeba tak rela abang cintakan dia. Deeba akan pastikan perempuan ni derita!”

Terus Adeeba berlalu pergi. Meninggalkan aku dengan lelaki ini.

Aku mengambil beg sandangku di atas sofa lalu berlalu pergi. Lelaki itu mengejarku dan cepat saja dia meraih pergelangan tanganku.

“Lepaskan saya!” Keras saja suaraku.

Lelaki itu menggeleng. Aku sudah tidak mahu masuk dalam permainan Adeeba dan abangnya. Cukuplah selama ini aku dibenci.

“Lepaskan saya,” rayuku. Mataku sudah berkaca.

Mataku dipandangnya. Perlahan-lahan dia melepaskan pergelangan tanganku.

“Sebab aku lepaskan kau dulu, aku derita. Silap aku sebab biarkan adik aku buli kau. Hati aku berdarah tapi aku tak mampu buat apa-apa. Hanya mampu perhatikan kau. Hanya mampu mengucapkan kata cinta dalam diam.” Dia berjeda.

Terus aku ketawa. Memang sumbang tetapi masih cukup kuat untuk memeranjatkan dia yang hanyut dibuai perasaan.

Aku tidak layak untuk dicintai! Aku hanya seorang manusia miskin lagi hina. Jangankan untuk bersama dengan lelaki ini, hadir dalam hidupnya juga satu kesilapan yang sangat besar lagi menyeksakan. Kerana dirinya, aku derita. Tapi silap diakah untuk mencintaiku? Dan adakah silap aku juga kerana mencintai dia?

“Kenapa kau ketawa?”

Mata itu memandang mataku sebelum aku mengalihkan pandangan. Terasa degupan jantungku laju.

“Saya ketawa sebab saya rasa encik tak berguna. Sanggup menampar adik sendiri sebab orang asing dalam hidup encik. Encik, kasih sayang orang asing tu boleh diganti tapi kasih sayang keluarga sendiri takkan pernah boleh diganti.

Sakit dibuli itu telah lama lenyap dalam kegelapan. Hati encik yang berdarah tu tak mungkin saya ubatkan. Cinta encik itu mungkin hanya nafsu semata-mata!” Tingkahku.

Lelaki itu menggeleng. Lalu menyambung kata. “Aku yakin dengan cinta aku. Hati yang berdarah tu, hanya kau yang mampu ubati! Kenapa susah sangat kau nak terima cinta aku, huh?”

Aku tersenyum pahit.

“Saya takkan pernah terima cinta encik selagi ada yang tidak merelakan encik mencintai saya.” Terus aku melangkah pergi. Meredah hujan dan air mataku berjuraian keluar daripada pelupuk mata. Hatiku yang sakit aku biarkan saja. Cinta yang berbalas itu tidak mampu buatkan aku tersenyum. Biarkan masa merawat segalanya.

*****

Alhamdullilah! Kucing itu masih mempunyai peluang untuk hidup seperti sediakala. Bibirku mengukir senyuman bahagia. Sejak dari kecil lagi aku memang sukakan kucing.

“Zalfa.” Namaku diseru. Hatiku tak tentu arah. Entah kenapa jantungku berdegup kencang di saat dia menyeru namaku. Apakah ini penangan cinta?

“Ya.”

“Jom balik,” ajaknya.
Aku menggeleng. Wajahnya bertukar keruh. Biarlah kali ini aku pulang dengan bas saja. Tidak mahu menyusahkan dia lagi. Sudahlah dia yang membayar segala bil perubatan. Hendak harapkan aku, aku tidak mampu.

“Saya balik naik bas saja.” Bohongku. Ada ke bas sekarang ni?

“Tak! Aku tak benarkan! Lagipun bas mana ada sekarang ni.” Terus dia mencapai pergelangan tanganku lalu menarikku kasar ke keretanya. Tubuhku ditolak ke dalam perut kereta. Kucing yang sedang dibuai mimpi itu ternyata tidak terganggu dengan perlakuan Tengku Khalish Eshan.

Pintu kereta dikunci. Aku hanya diam. Takut sebenarnya. Lelaki ini memang nekad. Lihat saja adiknya. Mendera hati ini hinggakan hati ini bagaikan sudah mati ditelan kesakitan.

“Terima kasih.”

“Untuk apa?”

Ternyata lelaki ini masih dingin dan serius. Tapi aku selesa begini. Aku benci lelaki yang begitu tergila-gilakan wanita yang dia cintai hingga sanggup membuat apa-apa saja.

“Sebab bayarkan bil tadi. Nanti saya bayar balik.”

Lelaki itu hanya membisu. Dagunya yang bersih diusap berkali-kali.

“Aku tak nak duit kau!” Ucapnya lantang. Aku menjongketkan keningku.
Belum sempat aku bertanya, dia sudah mendahuluiku.

“Aku nak kau bayar dengan cinta kau. Boleh?”

“Berapa kali saya nak cakap? Saya takkan mencintai encik selagi ada yang tidak rela encik mencintai saya!” Tukasku keras.

Pemanduannya diteruskan meskipun suasana dingin membelenggu kami. Dia memang tenang meskipun kesakitan mencengkam hati. Namun aku lebih sukakan Tengku Khalish Eshan yang dulu. Yang tidak mudah meluahkan perasaan cinta. Yang membuatkan aku seringkali tertanya-tanya siapa dirinya.

Manusia boleh berubah, Nurul Zalfa.

“Aku terima kenyataan tu tapi kau cintakan aku tak?”

Soalannya benar-benar memerangkapku. Bibirnya mengoyak senyuman nakal. Aku memalingkan muka. Memandang kucing yang masih tidur.
Dia memandang wajahku. Sengaja memandu perlahan.

“Kenapa tak jawab soalan aku?”

“Saya tak cintakan encik,” lafazku lambat-lambat.

Lelaki itu bersiul gembira sebelum menggeleng.

“Kau tak pandai menipu. Aku tahu kau cintakan aku. Betul tak?”

“Tak ada sebab untuk saya cintakan encik.”

Jika adiknya tahu aku menumpang kereta abangnya, pasti nasib buruk akan menimpa diriku. Aku kenal Tengku Natrah Adeeba. Dia akan buat apa saja asalkan dia dapat apa yang dia mahu termasuk mendera hati ini.

Tidak sewajarnya aku berdendam dengan dia. Aku pandang hujung jari telunjukku yang berparut. Parut yang ditinggalkan Adeeba.

“Tak ada sebab juga untuk kau tak cintakan aku.” Terus lamunanku hilang ditelan kegelapan malam.

“Boleh tak encik pandu cepat sikit? Ayah saya duduk sorang-sorang!”

Aku cuba menukar topik. Lelaki itu diam sebelum meratah wajahku.

“Ayah kau sihat?”

“Sihat.”

“Baguslah. Aku tak suka mentua aku sakit,” ucapnya sangat perlahan sehingga telingaku tidak dapat menangkap kata-katanya.

“Encik kata apa?”

Dia hanya menggeleng. Sepuluh minit kemudian, aku tiba di rumah. Rasanya ayah sedang solat kerana jam kereta menunjukkan pukul 8 malam.

“Dah sampai,” ucapnya. Kelihatan dia sedang leka memandang rumahku.

“Ada masalah ke dengan rumah saya?”

“Tak.”

Aku membuka pintu kereta. Kucing yang aku kutip sebentar tadi sudah terjaga. Ayah pasti gembira dengan kedatangan kucing ini kerana dia juga sukakan kucing seperti aku.

“Terima kasih sebab hantarkan saya. Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumsalam. Eh, kau tak nak bagi flying kiss ke?”

Penumbuk kecilku aku acukan ke muka dia. Dia ketawa besar. Aku menjelirkan lidah sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Hati, kenapa tidak berjaga-jaga? Lupakah aku dengan Adeeba?

Tangga rumah aku daki. Aku berpaling di saat keretanya sudah membelah kesunyian malam. Tanpa sedar, rasa cinta semakin mendalam. Tersungging senyuman mekar di bibirku.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...