Friday, May 1, 2015

Aku yang Sweet




“Assalamualaikum,”
            Baharuddin tersenyum manis. Dua orang anak muda yang sedang asyik berbual disapanya ramah dengan wajah yang manis berseri.
            “Waalaikumusalam. Nak ke mana pak cik pagi-pagi ni?” Huzaifah segera bangun menyalami jirannya.
            “Pak cik nak keluar pergi sarapan ni. Ni nak bagi surat jemputan kat kamu, dah alang-alang kamu kat luar ni,” bibirnya tidak lekok dengan senyuman.
            Huzaifah menghulurkan dahulu tangan untuk menerima surat jemputan walaupun tidak dihulurkan lagi surat yang ingin diberi padanya.
            “Siapa kahwin pak cik?”
            “Siapa pula yang kahwin?” Baharuddin kembali menyoal.
            “Dah pak cik kata tadi surat…”
            “Abah!”
Belum sempat Huzaifah menghabiskan baris katanya, anak perempuan Baharuddin muncul di pintu pagar dengan wajah yang mencuka. Perhatian mereka kini pada gadis itu.
“Anak pak cik yang ni kahwin ke? Dengan orang mana?” serta-merta Hazim bangun menghadap Huzaifah dan Baharuddin. Dari tadi dia asyik mendiamkan diri dan hanya tersengih-sengih tika abangnya ramah berbual dengan pak cik Baharuddin.
Baharuddin tidak terkata apa-apa. Soalan Huzaifah tidak dia balas, soalan adiknya, Hazim juga tidak dia menjawab. Kepalanya sedang memproses maklumat yang baru diterima. Siapa yang kahwin?
“Ada apa jerit-jerit ni?” soalnya pada anak perempuannya yang sudah berada di sebelah. Sementara fikiran memproses maklumat, ada baiknya dia menyahut panggilan anaknya itu.
“Ibu cakap, abah bagi barisan depan laluan kita ni. Ana dengan ibu akan edarkan kat barisan belakang sana tu,” Syafiqa memuncungkan mulutnya sambil menyerahkan lebihan surat jemputan pada ayahnya.
Hazim memandang tanpa berkerdip. Padanya, Syafiqa langsung tidak berubah. Lima tahun dahulu dengan sekarang, sama sahaja bagi dia. ‘Dah nak kahwin dah dia ni,” bisik hati kecilnya.
Syafiqa melirik tajam. Dia sedar Hazim sedang memerhatikannya. Dengan spontan Syafiqa juga berkalih. ‘Kalau nak bermain mata, mainlah betul-betul,’ bisik pula hati Syafiqa lantas memandang tepat pada Hazim.
Hazim terpana. Pandangan yang diberikan Syafiqa tidak mampu dia patahkan dengan pandangannya sendiri. ‘Apa aku nak buat ni? Astaghfirullah,’ sekali lagi hati kecil Hazim berbisik seraya melafazkan istighfar acap kali.
“Surat jemputan kahwin ke ni pak cik?” Huzaifah memainkan peranan. Dia sedar akan kelakuan pelik adiknya itu. Dilihatnya juga Syafiqa diam hanya memandang mereka berdua. Kalau dibiarkan lama, takut lain jadinya nanti.
“Kahwin apa pula ni? Ini surat jemputan pakatan laluan tempat tinggal kita ni. Jemputan untuk raya Qurban nanti. Kamu jangan lupa datang pula. Ajaklah adik kamu ni sekali walaupun tak duduk kat sini,” Baharuddin meneruskan kata tanpa menghidu sebarang keganjilan yang telah berlaku tadi.
Huzaifah mengangguk beberapa kali. “Ingatkan si Syafiqa ni hah yang kahwin. Tu yang terkejut tadi tu. Anak-anak pak cik ni semuanya senyap-senyap beritanya. Alih-alih dapat kad jemputan je,”
Baharuddin terus ketawa tanpa sebab. Baginya kenyataan itu mencuit sedikit hatinya, “Nak buat macam mana, masing-masing duduk jauh. Kalau duduk sini, adalah gamaknya dengar gossip-gosip hangat macam selalu orang laluan kita gosipkan,”
“Jangan pak cik! Minta simpanglah nama kita ni naik untuk digosipkan. Ahli gosip jiran-jiran kita ni bahaya pak cik!” Huzaifah menyambung gelak tawa Baharuddin. Senang dia bicara dengan jirannya yang seorang ni. Baginya, pak cik Baharuddin sangat sporting dan bertimbang rasa. Sesiapa pun mudah masuk dengan pak cik ni.
“Abah, Ana pergi edar dululah. Abah sembanglah dengan mereka ni,” Syafiqa bersuara. Dua tiga minit yang lepas dirinya jadi tugu pendengar, begitu juga dengan Hazim.
“Hah! Pergilah edar, itu ibu dah tercongok depan pintu tu,”
Syafiqa membuka besar langkahnya. Ada bagusnya dia tidak bertemu dengan dua jejaka tu tadi. Resah semacam je mereka-mereka tu bila berdepan dengan dirinya.
“Pak cik pergi dahulu. Jangan lupa datang tau nanti,” Baharuddin menyalami Huzaifah dan Hazim sambil tersenyum memandang mereka berdua.
“Kalau ya pun kamu tu syok kat anak dia, janganlah sampai terkantoi. Nasib baik abah dia tak perasan kamu pandang anak dia macam nak makan je,” Huzaifah menyiku lengan adiknya. Sudah banyak kali dipesan, jaga kelakuan, lebih-lebih lagi bila bersua dengan Syafiqa tu.
“Susahlah Long,” Hazim mengeluh. Matanya masih pada Syafiqa yang dari jauh berjalan kaki dari rumah ke rumah mengedarkan surat jemputan Qurban itu.
*************************
“Aku dah bagitahu dah kamu dulu, tapi kamu tak nak dengar,”
            “Long… bukan tak nak dengar, tapi waktu tu zaman hingusan. Apa kata orang? Zaman cinta monyet! Manalah nak ada rasa cinta-cinta ni,” Hazim menyandarkan badannya.
            Huzaifah menaikkan sedikit cermin matanya. Hidungnya dipicit beberapa kali. Terasa mahu bersin pula.
            “Siapalah yang suruh jadi monyet bagai ni? Tak adanya cinta monyet. Yang ada adalah cinta manusia. Cinta yang suci dan itulah yang sepatutnya menjadi fitrah kita. Yang menjadikannya monyet adalah kita juga, bercinta tanpa ada tujuan, hanya mahu berseronok. Kalau bukan keseronakan yang diutamakan, cinta monyet semuanya ni mana nak wujud,” panjang lebar dia bersyarah.
            Hazim menggaru-garu kepalanya. Huzaifah merunsingkan lagi fikirannya. Tiap kali soal ini dibangkitkan, benda yang sama akan dia bicarakan. Bersyarah saja, solusinya masih belum diperoleh.
            “Sekolah lagilah Long waktu tu. Nak fikir cinta tulus suci apanya? Lepas sekolah, masing-masing bawa diri. Waktu dah besar macam nilah baru berpeluang berjumpa balik. Along, tak ada tips ke untuk Jim ni?” Hazim menggerak-gerakkan kedua-dua keningnya ke atas.
            “Aku kan dah bagi dah waktu kamu sekolah dulu,”
            “Long, tu dulu. Mana Jim nak ingat. Bagilah semula Long. Kasihan kat adik Along yang sorang ni,” Hazim mengumpan lagi.
            Huzaifah tersenyum lebar, “Jim, perempuan ni senang je nak tackle. Senang je,”
            “Macam mana?” tak sabar pula nak tahu.
            “Kamu kena jadi seorang yang sweet untuk pikat hati perempuan ni,” mata Huzaifah bersinar-sinar. Lima tahun yang lepas, perkara yang sama juga dia berikan pada adiknya ini.
            “Sweet? Binatang apa tu?”
            “Sweet tu bukan binatang la. Bak kata orang kita, menjadi seseorang yang sejuk mata memandang dan baik budinya. Perempuan ni hati dia lembut,”
            “Macam mana pula nak jadi sweet tu Long?”
            Huzaifah memandang sekeliling. Matanya melilau sampai ke bahagian dapur. Perkara rahsia harus diberitahu dengan rahsia juga. Tiada sesiapa boleh tahu.
            “Ada tiga steps yang kamu kena ambil. Tak banyak. Tiga je,” Huzaifah mengangkat tangannya menunjukkan bilangan tiga.
            Hazim berkerut seribu, “Biar betul Long? Tiga je? Syafiqa tu bukan calang-calang orang. Mahu dekat beratus stepsnak kena ambil ni,”
            Huzaifah mendekatkan dirinya, “Tiga je. Kalau kamu ikut steps aku kasi ni, inshaAllah, Syafiqa tu kamu punya,” dengan yakin Huzaifah memberi kata putus.
            Hazim diam seketika. Minda memainkan peranan. Logikkah kata-kata abangnya ni? Kalau tak cuba, mana nak tahu hasilnya kan?
            “Apa steps nak jadi sweet ni Long?”
            Huzaifah meghidu-hidu sesuatu. Hidungnya terangkat beberapa kali. Sensitifnya pada bau ni. Mana datang bau ni?
            “Kenapa Long? Selsema ke pun?” soal adiknya yang perasan akan kelakuan abangnya itu.
            “Kamu bau tak apa yang aku bau ni?” Huzaifah memegang batang hidungnya.
            “Bau apa? Jim bau bihun goreng je. Kak Long tengah masak tu kan,”
            Huzaifah mengangguk pantas seraya lebar tersenyum, “Pandai pun! Kita makan dulu, lepas tu aku bagitahu kamu apa yang kamu kena buat,”
            “Ala Long! Cakaplah dulu. Lepas tu kita makanlah. Tak lari mana pun bihun goreng tu!” Hazim menarik tangan abangnya.
            “Kamu tahu kan bihun goreng Kak Long kamu tu favourite aku? Aku terpikat dengan dia pun sebab bihun goreng yang dia masak. Tak tahan aku! Kalau dia masak nasi ke, mee ke, itu tak pe, kita boleh duduk sembang lagi. Tapi, kalau bihun goreng, memang tak boleh aku nak tahan dah!” Huzaifah menarik semula tangannya. Seleranya naik dengan haruman bihun goreng hasil air tangan isterinya.
            Huzaifah menapak laju ke dapur. Wajahnya begitu berseri dengan adanya bihun goreng.
            Hazim sedikit mencuka. Memang tak boleh nak dibuat apa dah. Abangnya memang hantu bihun goreng. Tapi hanya bihun goreng yang dimasak oleh Kak Long sahaja dia gilakan, selain daripada itu, hidanglah apa pun, seleranya memang kurang.
            “Jangan risaulah Jim! Lepas kita makan bihun goreng nanti aku bagitahu. Tak lari manalah Syafiqa tu,” Huzaifah bersuara lagi. Hanya suaranya kedengaran, jasadnya sudah ada di dapur.
            “Memanglah dia tak lari. Dia berjalan je dah boleh dapat kat orang lain,” bisiknya sendiri.
*************************
“Kamu kena tanamkan dalam diri kamu tu yang kamu seorang yang sweet. Itu yang paling penting sekali,”
            “Sebelum nak ambil langkah pertama untuk lakukan kesemua steps tu nanti, jangan lupa baca Bismillah dan selawat. Lepas dari tu, barulah buat apa yang patut,”
            “Aduh!”
            Hazim tersentak.
            “Astaghfirullah. Sempat lagi aku duk mengelamun,” suara yang didengarnya tadi menyedarkannya dari lamunan yang sekejap itu.
“Mana Along ni? Dah dekat sepuluh minit duk tunggu depan rumah dia. Dahlah panas duduk dalam kereta waktu-waktu begini,”
“Kepala ok ke? Terhantuk kuat tu,” satu lagi suara kedengaran.
Hazim memusingkan kepalanya ke kanan. Kelihatan Syafiqa dan ibunya yang sedang berdiri menghadap but kereta mereka. Hazim menelan air liur. Jantungnya berdegup pantas.
“Astaghfirullah,” lafaznya perlahan sambil mengurut-urut dadanya.
“Ana, pergi ambil troli besar kat belakang. Senang sedikit kita nak angkat barang ni masuk rumah. Lagipun, kereta ni tak boleh masuk dalam,”
Syafiqa turut perintah. Dibiarkan ibunya seorang diri bercekak pinggang mengomel tentang barang-barang yang telah mereka borong.
“Apa yang nak dibuat dengan microwavekettle, pinggan mangguk bagai tu? Syafiqa pindah duduk sini terus ke?” soalnya sendiri sambil meninggi-ninggikan tengkuknya untuk mengintai apa yang ada dalam but kereta.
Syafiqa menolak troli keluar. Troli yang sederhana besar itu adalah hasil kreatif ayahnya sendiri. Masa lapang yang ada, jika tidak ke kelas agama, ayahnya akan duduk di stor belakang dan mencipta pelbagai jenis barang baru, termasuklah dua buah troli yang memudahkan mereka untuk mengangkat barang-barang berat.
“Macam ada peluang je ni,” Hazim menelan air liurnya buat kali kedua.
“Dengar sini, step yang pertama yang perlu kamu lakukan adalah ambil hati ibu dan abah Syafiqa tu. Pak cik Baharuddin tu baik orangnya. Mudah untuk kamu beramah dengan dia. Ibunya pun sama. So, credit untuk kamu kat situ. Biar mereka nampak yang kamu ni baik orangnya, rajin, dan suka menolong orang,”
Suara abangnya kembali bergema di cuping telinga. “Ambil hati ibu dia. Boleh ke aku ni?”
“Ingat pesan aku. Itu yang pertama,”
Hazim mengangguk sendiri setelah teringat apa yang telah dia bualkan dengan Huzaifah kelmarin.
“Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Allahumma salli ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad. Bismillahirrahmanirrahim. Aminnn…” dihembus ke kanan dan ke kiri.
“Banyak beli mak cik?”
Hazim melangkah perlahan seraya menyapa dua beranak yang tekun mengangkat barang untuk diletakkan ke atas troli.
Syafiqa mengerling. Matanya sengaja dikecilkan untuk memberi amaran. Hazim tersenyum memanjang. Amaran yang diberikan umpama sapaan lembut baginya.
“Hazim! Tak kerja ke hari ni?” Maria kembali menyoal.
“Kerja. Budak ramai tolong jagakan kejap bengkel. Datang ni nak jumpa Along, tapi dia tak balik lagi. Tunggu kat dalam kereta tu. Lepas tu nampak pula mak cik dengan Syafiqa ni. Tu yang saya datang sini tu,” panjang bicara dengan lancar.
“Nak saya tolong ke ni mak cik? Banyak barang ni,” Hazim kembali bersuara.
“Eh, tak payah! Menyusahkan kamu je. Mak cik dengan Ana boleh buat. Sekejap je ni,” Maria cuba menolak. Kalau boleh dia tidak mahu menyusahkan sesiapa.
“Ala mak cik, terima je lah aku nak tolong ni. Aku kena jadi sweet depan anak mak cik ni. Tak boleh jadi ni. Kena pujuk lagi ni,”
“Dah alang-alang saya ada dekat sini. Lagi sekejap kalau saya yang tolong. Bukan susah mana pun. Dari saya duk membosankan diri dalam kereta, ada baiknya saya tolong kat sini,” Hazim bermanis kata.
“Biarlah ibu. Orang dah nak tolong, kita terima je lah,” Syafiqa pula bersuara. Makin lebar senyuman Hazim.
“Suka hati kamu lah. Angkat yang besar tu dulu,” Maria kembali memerintah.
Hazim ke but kereta dan mengangkat microwave seperti yang Maria arahkan. Syafiqa pula mengangkat barang-barang yang ringan ke dalam rumah.
“Alhamdulillah. Step pertama berjaya,” ujarnya perlahan.
*************************

“Jim. Kamu datang tak ni?”
            “Jim banyak kerjalah Long. Customer ramai ni,” Hazim mengesat peluh di dahi.
            “Budak-budak mana? Minta tolong mereka jagakanlah,”
            Hazim mengeluh. “Masing-masing ada kerja. Nantilah, kalau lepas Asar siap semua kerja, Jim singgah rumah,”
            Telefon dimatikan. Kerja yang tertangguh disambung kembali. Minggu ni merupakan minggu yang sangat sibuk baginya.
            “Assalamualaikum,”
            Semua memandang pada Hazim. Dia hanya berdiri tegak sambil tersenyum kambing memandang kembali yang lain.
“Lambat kamu sampai. Banyak kerja kat bengkel ya?” Baharuddin menapak keluar rumah menjemput Hazim masuk.
“Lambatnya! Orang dah nak balik dah ni!” Huzaifah pula muncul dengan lemang yang masih ada di dalam mulutnya.
Sorry. Jim banyak kerja kat bengkel. Ni pun baju bengkel Jim pakai. Lupa nak bawa baju salin. Maaflah kalau berbau sikit,” Hazim berbahasa basi.
“Tak mengapalah. Jom masuk makan. Pak cik kenalkan kamu dengan anak menantu yang selalu pak cik ceritakan pada abang kamu ni,” Baharuddin mendahului Hazim dan Huzaifah.
“Hari ni, kamu boleh teruskan dengan step kedua yang aku ajar tu,” Huzaifah berbisik pada adiknya seraya mengenyitkan mata kirinya.
“Azma tak ada hujung minggu ni abah. Ada kenduri kesyukuran pula mak buat kat kampung,”
Baharuddin berkerut. “Tak mengapalah kalau begitu. Lagi pun dah lama kamu tak balik jenguk mak kat kampung. Pandailah abah dan ibu uruskan rumah tu,”
Hazim mengambil tempat di hadapan abangnya.
“Ini Hazim, adik Huzaifah ni. Yang ni pula Azma, menantu pak cik,” Baharuddin bersuara.
Hazim segera menghulurkan salam. Azma tersenyum sambil membalas salam yang diberikan. “Hazim ya? Segak orangnya,” tegurnya ramah.
“Kita upah orang je lah abah,” Syafiqa tiba-tiba muncul membawa sepiring kuih dan diletakkan di hadapan Hazim.
Hazim terkesima. “Astaghfirullah…” cepat-cepat dia alihkan lirikan mata ke bawah. Hatinya berdebar-debar.
“Mana sempat nak cari orang. Kita tunda je minggu hadapan. Bukan lama pun,” Baharuddin memberi kata putus. Dari memeningkan kepala, baik tundakan sahaja.
Huzaifah menyiku belakang adiknya beberapa kali. Terbantut gerak Hazim yang baru hendak menyuap kuih.
“Jim, kamu ingat lagi kan step kedua tu. Buat baik dengan keluarga Syafiqa. Tunggu apa lagi ni?” Huzaifah mengingatkan.
Hazim menelan air liurnya. “Astaghfirullah. Astaghfirullah. Astaghfirullah. Allahumma salli ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad. Bismillahirrahmanirrahim. Aminnn…”
“Maaf menyibuk. Nak tanya, ada masalah ke ni?” ujarnya setelah menghembuskan kata-kata hikmat sebentar tadi. Kuih yang masih ada di tangan disuapkan ke mulut. Sedap!
Azma memandang ayah mertuanya. Baharuddin mengangguk seakan memahami isyarat mata menantunya itu. Huzaifah yang berada di belakang senyum melebar.
“Minggu ni kami semua tak ada di sini. Abah, ibu, dan Ana terpaksa hadir majlis konvokesyen Ateh di Perlis. Saya dan isteri pula ada kenduri kesyukuran di kampung,” Azma berasa selesa menerangkan hal yang menjadi masalah buat mereka. Hazim dan Huzaifah sudah dianggap seperti keluarga mereka juga kerna, antara jiran-jiran yang ada, dua beradik inilah yang selalu bertegur sapa dengan mereka.
Hazim tekun mendengar.
“Minggu ni juga ada majlis dekat rumah kanak-kanak di bandar tu. Rumah tu inisiatif abah dan ibu untuk membantu mereka yang susah. Dah janji dengan adik-adik dalam rumah tu nak buat majlis minggu ni. Tak sangka pula semuanya pada hari yang sama. Serba salah pula kalau tunda hari yang lain. Tapi setakat ni, itu sahajalah jalan yang ada,” sambungnya lagi.
“Along tak pernah cerita pun pak cik ada buka rumah kanak-kanak,” Hazim menjeling pada abangnya.
“Aku lupalah. Tak kan semua aku nak cerita kat kamu,” Huzaifah membela dirinya.
“Kalau susah sangat pak cik, serahkan pada saya je lah untuk uruskan majlis tu nanti,” Hazim memberi cadangannya pula. Spontan dia membuat keputusan tanpa memikirkan apa-apa tindakan yang dia perlu hadapi nanti.
Huzaifah membulatkan matanya. Adiknya terlalu terburu-buru dalam membuat keputusan.
“Kamu ni biar betul? Tak payahlah,” Baharuddin pantas menolak cadangan Hazim.
“Kenapa nak susahkan diri pula? Tak usahlah Hazim,” Azma menyokong ayah mertuanya.
“Tak mengapa. Saya willing nak tolong ni. Lagi pun, kerja kat bengkel tak banyak sangat. Boleh panggil budak-budak bengkel tolong sama. Alah, macam buat program waktu belajar dulu je bunyinya. Nanti pak cik bagitahu saya majlis pasal apa, nak buat macam mana. Pandailah saya uruskan nanti,” Hazim semakin yakin dengan keputusannya. Sambil sembang, sambil mengunyah. Lapar benar dia hari ni.
“Tak manislah Hazim,” Baharuddin tidak sedap hati.
Hazim mengangkat tangannya dan dilambaikan beberapa kali, “Apa pula tak manisnya? Benda baik ni pak cik, tak kan saya nak lepaskan peluang buat kerja-kerja kebajikan. Saya serius ni!”
“Tak payahlah abah nak susah hati. Orang tu dah nak tolong kita, terima je lah,” Syafiqa yang dari tadi hanya mendengar, akhirnya bersuara. Baik pula Hazim ni nak bantu keluarganya.
“Betul cakap Syafiqa tu pak cik. Adik saya ni memanjang free. Apa salahnya dia tolong. Nanti saya dan Junia pun akan tolong sikit-sikit,” Huzaifah cuba membantu Hazim untuk menyakinkan Baharuddin untuk serahkan tugas tu pada adiknya.
“Kalau begitu kata kamu, baiklah. Esok pak cik bagitahu semuanya pada kamu. Makan dahulu semua ni kasi habis. Terima kasih banyak la Hazim,”
“Sama-sama pak cik. Tak susah mana pun,” Hazim tersengih.
“Tak susah mana kamu kata? Kalau ya pun nak buat step kedua tu, beragaklah sikit Jim!” Huzaifah membongkok dan berbisik di telinga adiknya.
“Ini barulah dikatakan sweet Long!” Hazim berbisik kembali pada abangnya.
“Suka hati kamulah Jim!”
*************************
Telefon bimbit di tangan diletakkan semula ke atas meja.
            Sudah hampir setengah jam dia begitu. Telefon bimbit diangkat kemudian diletakkan semula. Satu helaan nafas dilepaskan.
            “Step yang akhir ni susah sedikit. Kamu perlukan kekuatan maksima untuk lakukannya,”
Masih terngiang kata-kata abangnya itu.
“Memang aku perlukan kekuatan maksima untuk teruskan. Payah benar nak dapatkan kekuatan tu. Dah sebulan dah aku tak jejakkan kaki ke sana. Gerun pula rasanya,” ujarnya sendiri sambil menekan-nekan punat pada telefon bimbit tanpa sebarang tujuan.
Kertas A4 yang berselerakan di atas mejanya diperhatikan satu-persatu. Bibir digigit setiap kali melihat apa yang telah dia tulis pada kertas tersebut.
“Tapi kalau nak tunggu kekuatan maksima tu datang, memang tak kahwinlah aku jawabnya. Aku kena buat juga stepakhir ni! Barulah aku berjaya jadi lelaki yang sweet untuk Syafiqa,” sambungnya lagi.
Hazim mencari-cari nama ‘Ayah Mertuaku’ dalam telefon bimbitnya. Mulutnya terkumat-kamit melafazkan sesuatu, “Allahumma salli ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad. Bismillahirrahmanirrahim,”
Telefon bimbit merah miliknya dilekapkan pada telinganya. Air liur ditelan.
“Assalamualaikum pak cik,”
“Waalaikumusalam. Siapa ni?” soal Baharuddin apabila nombor yang tidak dia kenali menelefonnya.
“Saya ni, Hazim. Maaf menganggu pak cik waktu petang macam ni,” jawabnya lembut.
“Hazim! Ya Allah! Lamanya tak dengar berita kamu. Dah sebulan lebih dah kalau tak silap pak cik. Pak cik tak sempat nak terima kasih kat kamu face-to-face sebab tolong uruskan majlis rumah kanak-kanak tu,”
“Ala pak cik, kecil punya hal. Bukan susah mana pun benda tu,” sambungnya pula.
“Apa halnya kamu telefon pak cik ni?”
Hazim berdehem beberapa kali. Terasa berat pula mulutnya nak menyampaikan hajat. Kertas A4 diangkat sehelai demi sehelai sambil mengira-ngira wajarkah tindakan yang dia lakukan tika itu.
“Udah kenapa kamu tu? Tak sihat pula ke?” deheman Hazim sedikit sebanyak merisaukannya. Sebulan tidak nampak batang hidung sebab sakitkah?
“Eh, tak adalah. Saya sihat. Tekak kering sikit ni. Hurm… esok pak cik free?” Hazim meneruskan kata.
“Kenapanya?”
“Saya ingat nak datang rumah esok. Ada hal nak bincang dengan pak cik dan mak cik,”
“Boleh. Boleh. Kamu datanglah lepas Asar,” mudah benar Baharuddin membuat keputusan tanpa bertanya apa-apa.
“Kalau macam tu, kita jumpa esoklah. Terima kasih pak cik. Assalamualaikum,”
Hazim menarik nafas lega. Mudah berbicara dengan pak cik Baharuddin. Tanpa berlengah, Hazim mengemas kertas-kertas yang ada dan dimasukkan ke dalam fail peribadinya.
Dia perlu lakukan persiapan untuk esok. Langkah terakhir untuk menjadi lelaki yang sweet harus dilakukan dengan sebaiknya.
*************************
“Kertas apa ni Hazim?”
Maria membelek-belek kertas yang diberikan padanya. Baharuddin juga mengintai sama isi kertas itu.
“Sebelum tu, Syafiqa ada ke kat rumah?”
“Dia dah balik kolej dua minggu lepas. Apa ni Hazim?” Baharuddin pula bersuara seraya mengambil kertas-kertas yang ada pada isterinya.
“Allahumma salli ‘ala muhammadin wa’ala ali muhammad. Bismillahirrahmanirrahim,” lafaznya perlahan sebelum menjawab pertanyaan Baharuddin dan Maria.
“Last step ni Jim, kamu kena tunjuk berani sikit. Inilah masanya nak buktikan yang kamu tu bukan sahaja sweet, tapi memang layak untuk anak mereka. Apa yang kamu perlu lakukan adalah, kamu pergi pinang Syafiqa tu tanpa pengetahuan Syafiqa. Tapi kamu kena prepare lah betul-betul. Kamu nak pinang anak orang, bukan anak monyet,”
“Lepas je last step ni Jim, aku jamin Syafiqa tu memang kamu punya,”
Hazim termangu mengingat kembali kata-kata abangnya. Walaupun tidak mempunyai kekuatan maksima yang diperkatakan oleh abangnya, dia tetap mahu meneruskan langkah terakhir ini.
“Dah kamu ni kenapa? Hazim! Kenapa termenung?!” Baharuddin meninggikan suaranya. Dari tadi dia dan isterinya tanya tidak jawab, kemudian termenung seperti orang hilang akal.
Hazim sedikit terkejut. Kepalanya digeleng beberapa kali tanpa sedar.
“Saya minta maaf. Saya lupa nak cakap apa, sebab tu termenung sekejap,” Hazim cuba berdalih.
“Kertas tu adalah kertas bajet yang saya rangka sendiri,” Hazim memulakan sesi pinangannya.
“Untuk apa bajet ni?” Maria menyoal.
“Bismillah. Sebenarnya, saya berkenan dengan anak pak cik dan mak cik, Syafiqa, dan nak sangat jadikan dia isteri saya,” lancar dia menyatakan hajat di hati setelah sekian lama dipendamkan.
“Kamu nak pinang anak pak cik dengan kertas bajet ni?” Baharuddin pula menyoal.
Hazim tersenyum kambing.
“Dalam kertas bajet tu, saya dah senaraikan semua keperluan yang diperlukan untuk majlis perkahwinan nanti, itu pun kalau jadilah majlisnya. Dalam kertas tu juga, saya senaraikan sekali pendapatan saya untuk bengkel kat sini, dan juga dua lagi cawangan saya di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang,”
Maria dan Baharuddin bersilih ganti meneliti isi kandungan kertas bajet tersebut. Hazim mengambil peluang itu untuk meneruskan lagi katanya.
“Syafiqa merupakan junior saya sewaktu sekolah dahulu. Malu saya nak cakap, tapi kena cakap juga. Saya dah lama suka kat Syafiqa, sewaktu saya tingkatan lima lagi. Tapi, waktu tu Syafiqa baru tingkatan satu. Memang terasa terlalu kebudak-budakan untuk bercinta ni. Selepas habis belajar, saya fokus pada pengajian teknikal dan sampai sekarang, alhamdulillah, saya sudah berjaya miliki tiga bengkel sendiri,”
“Saya betul-betul serius nak jadikan Syafiqa isteri saya. Saya buat sendiri kertas bajet tu dah lama dah,”
 “Alhamdulillah, saya berjaya ikut bajet saya tu. Saya sudah cukup bersedia untuk berkahwin. Dan calonnya adalah Syafiqa Azliana. Itu pun kalau dia masih belum berpunya,”
Maria memandang wajah suaminya. Baharuddin juga begitu, berkalih memandang isterinya.
“Hazim,”
Hazim memandang pula kedua mereka tanpa berkerdip.
“Pak cik dan mak cik dah lama berkenan dengan kamu dan kami setakat ni tiada masalah dengan hajat baik kamu ni,”
Kata-kata Baharuddin melegakan Hazim. Kata syukur dilafazkan dalam hatinya.
“Tapi, yang nak kahwinnya adalah Ana, bukan kami. Jadi, kami kena tanya empunya badan dahulu. Kemudian, barulah kata putus kami beritahu pada kamu,” sambungnya.
“Alhamdulillah. Saya akan tunggu pak cik, mak cik,”
“Ana masih lagi ada satu semester. Kalau dia setuju nanti, kami harap biarlah dia selesai belajar dahulu, kemudian barulah buat majlisnya,” Maria menyatakan hasrat hatinya. Dia tidak mahu anak perempuannya terganggu urusan belajarnya nanti.
“Boleh mak cik. Saya setuju,” jawabnya laju.
“Rajin sungguh kamu buat semua ni Hazim. Habis semua kamu senaraikan ni. Pelamin, hantaran, rumah, kereta. Banyak ni,” Baharuddin masih meneliti kertas yang dari tadi tidak lepas dari tangannya.
Hazim senyum hingga tampak barisan giginya, “Saya nak yakinkan pak cik dan mak cik yang saya betul-betul serius. Satu je yang saya tak senaraikan, duit yang ada dalam akaun bank saya,”
“Ada ke duitnya dalam akaun kamu tu?” Maria mencelah.
“Haisshh mak cik ni. Mestilah ada, kalau tak buat apa saya datang sini. Nak pinang anak dara orang ni. Bukan boleh dibawa main,”
Baharuddin dan Maria ketawa kecil.
“Pak cik dan mak cik jangan risau. Rumah saya dah ada, kereta pun saya dah ada. Setakat ni semuanya cukup. Alhamdulillah,” sambungnya lagi.
“Kena tunggu dulu jawapan Ana. Semoga terbuka hati Ana untuk terima kamu,”
Hazim mengaminkan dalam hati.
Step terakhir ni lah penentu hidup aku,”
*************************
Terik panas matahari tidak dihiraukan. Peluh yang seronok mengalir dibiarkan sahaja.
“Mana barang tu?”
Syafiqa menghampiri Hazim yang setia menunggunya di luar. Tergesa-gesa dia bersiap bila ibunya terjerit-jerit memanggilnya. Bila diintai ke luar tingkap, Hazim sudah terpacak di pintu pagar rumah.     
“Tak nak ajak saya masuk dulu ke?” Hazim mengesat peluh yang ada di tengkuknya. Dia sengaja membiarkan peluh membasahi dirinya semata-mata mahu kelihatan simpati di hadapan Syafiqa.     
Syafiqa mencebik, “Alah! Panas sikit dah nak minta teduh. Siapa suruh datang waktu tengah hari panas macam ni? Lain kali awak datanglah waktu Subuh pula, sejuk je,”
“Tak perlulah nak perli saya macam tu sekali. Waktu ni je saya free. Awak nak barang hantaran tu hari ni kan? So,waktu ni je lah yang saya boleh bagi pada awak,”
            “Yalah tu. Lagi satu, tak boleh ke awak telefon bagitahu saya dulu sebelum nak datang?”
Hazim tertunduk mendiamkan diri. Dia terus membuka pintu kereta belakang untuk mengambil barang hantaran yang ada.
Terbit rasa serba salah dalam hati Syafiqa. Dia selalu berkasar dengan Hazim dan selalu buat Hazim terasa hati sejak hari pertama dia menjadi tunangnya.
Sorry lah awak. Saya bukan apa, nak ajar awak tertib-tertib datang rumah orang. Kan manis kalau awak telefon bagitahu awak nak datang bila, pukul berapa. Tak adalah ibu asyik terjerit-jerit suruh saya keluar. Saya pun ada masa nak siap-siap,” Syafiqa serba salah.
Hazim tidak mengendahkannya. Dia leka menyusun barang dan memasukkannya satu persatu dalam kotak untuk memudahkan Syafiqa mengangkatnya nanti.
“Awak, saya minta maaflah. Saya tahu awak sibuk uruskan bengkel awak tu. Tapi awak kenalah tahu adab nak datang rumah orang macam mana. Bukan main terjah je,” dalam ingin memujuk, tetap tegas ingin memberi nasihat.
Hazim menolak pintu kereta dengan kakinya dan menapak ke halaman rumah. Kotak yang berisi barang hantaran itu diletakkan di atas buaian. Peluh di dahi dilap kosong.
“Semua barang yang kita dah bincangkan ada dalam kotak ni. Ok, selesai kerja saya,” ditepuk-tepuk kedua-dua tapak tangannya dengan senang hati.
“Awak tak marah ke?” soal Syafiqa tika lihat Hazim begitu.
“Kenapa pula saya nak marah?”
“Yang tadi tu? Awak diam je. Awak tak terasa dengan apa yang saya cakap?”
Hazim cuba mengingat semula, “Awak ingat saya diam sebab terasa? Hahaha… Lawaklah awak ni. Saya diam sebab nak cepat-cepat siapkan kerja ni. Awak pun tahu panas berdiri lama-lama kat luar tu,”
Tidak terlintas langsung dalam benak fikirannya untuk terasa hati. Dia terlalu menyayangi Syafiqa hinggakan apa yang Syafiqa katakan atau lakukan semuanya baik baginya.
“Kalau macam tu baguslah. Semua barang dah cukup dah ni. Awak pergilah sambung kerja kat bengkel tu. Terima kasih,” lega sedikit hatinya kerna tidak buat sesiapa terasa hati dengan sikap dinginnya itu.
“Awak!”
Syafiqa membatalkan hasratnya untuk mengangkat kotak ke dalam. Perhatiannya kini pada Hazim. Apa lagi yang dia nak?
“Saya nak tanya dua soalan sebelum saya balik,”
“Tanya apa?”
“Kenapa awak terima pinangan saya ya? Dah lama saya nak tanya, tapi tak berkesempatan pun nak tanya,”
Syafiqa memeluk tubuhnya, “Kenapa tanya macam tu? Tak suka dah ke?”
Hazim segera menidakkan tanggapan tunangnya itu, “Tak! Siapa cakap tak suka? Saya bukan setakat suka, dah tahap cinta sayang semuanyalah,”
“Kalau macam tu, awak tak perlulah tanya soalan pelik-pelik macam tu dah. Saya dah terima pinangan ni, jangan nak mempersoalkan pula. Kita ni lagi seminggu nak akad dah tau,” Syafiqa memberi amaran pertama.
“Ala, saya saja nak tahu je. Tapi kalau awak tak suka soalan tu, saya tanya soalan kedua pula,”
Syafiqa menunggu dengan sabar.
“Awak rasa… awak rasa saya ni sweet tak pada awak?” Hazim mahukan kepastian yang kata-kata abangnya boleh dipercayai. Dia dilatih dengan tiga steps untuk menjadi lelaki yang sweet untuk memikat Syafiqa Azliana.
Syafiqa mengurut-urut kepalanya, “Soalan merepek apa yang awak tanyakan ni?”
“Saya nak tahu je yang saya ni seorang lelaki yang sweet atau tak? Itu je,”
“Macam budak-budaklah awak ni. Dahlah, malas saya nak layan dah. Awak balik rumah nanti, banyakkan rehat. Kerja teruk sangat sampai fikiran awak pun dah tak berapa nak betul,”
“Awak… satu jawapan je saya nak dengar, ya atau tak. Awak tahu tak? Dah macam-macam saya buat untuk jadisweet kat mata awak,” Hazim beralih ke hadapan Syafiqa yang membelakangkannya.
“Jadi sweet? Untuk saya? Siapa suruh? Hazim, jangan mulakan perkara yang pelik-pelik lagi,” rayunya supaya pergaduhan besar tidak terjadi nanti.
“Jadi lelaki sweet tu pelik ke? Awak… saya cuba ambil hati abah dan ibu awak, saya cuba berbaik dengan keluarga awak, dan saya memberanikan diri pinang awak dengan jumpa parents awak tanpa pengetahuan awak. Tak ke sweet tu? Apa tak cukup sweet ke saya ni?” soalnya sekali lagi.
“Ooooo… awak buat semua tu sebab nak nampak sweet je? Awak kata tadi awak cinta dan sayang pada saya. Awak nak kahwin dengan saya pun sebab nak nampak sweet juga ke?” dicuba untuk mengawal nada suaranya.
Hazim menggeleng beberapa kali, “Saya betul cintakan awak. Saya nak tahu je, saya ni dah cukup sweet ke tak untuk awak? Itu je. Saya buat semua tu sebab ada yang bagitahu saya yang awak ni suka pada lelaki yang sweet,”
“Siapa cakap?”
“Adalah orang tu. Kenalan saya,” Hazim tidak membuka sepenuhnya pekung di dada. Nama baik abangnya perlu dijaga.
“Tapi saya betul sayangkan awak tau! Tiap kali jumpa awak, hati saya berdebar semacam. Sampai ke hari ini dan tika ini pun jantung saya berdegup pantas ni. Awak buat saya tak keruan. Istighfar saya dalam hati ni tiap kali nampak awak. Kalau tak istighfar, tak reda degupan kat dalam ni,” tangan diletakkan di dadanya.
“Kalau dah sayang, buat apa nak tanya soalan yang pelik-pelik lagi? Kenapa terima pinanganlah? Awak ni sweet ke tak lah? Awak tahu tak, kita boleh gaduh besar tau kalau diteruskan macam ni. Saya nak pelihara hubungan kita ni,” Syafiqa tegas melafazkan katanya.
“Yalah. Saya tanya je. Awak tu yang susah sangat nak jawab. Jawab je lah, itu pun tak nak,” sedih nadanya.
“Saya balik dululah. Ada banyak kerja kat bengkel,” Hazim melangkah dengan lemah menuju ke keretanya. Dia sedikit kecewa dengan apa yang terjadi. Salahnya juga bertanya. Tapi salah Syafiqa juga tidak menjawab pertanyaannya.
“Apalah pelik sangat bakal suami aku tu? Sweet? Jadi sweet untuk pikat aku?”
Syafiqa mengeluh panjang sambil bibirnya melirikkan senyuman penuh makna.
*************************
“Amin ya rabbal ‘alamin,”
“Abang,”
Hazim menoleh ke belakang. Syafiqa masih bertelekung dan hanya memandang kepadanya.
“Kenapa ni? Jomlah kita tadarus. Lepas tadarus, boleh masuk tidur terus. Penat sangatlah hari ni. Esok tentu kena bangun awal. Malulah pula kalau pengantin baru bangun lambat,” tersengih-sengih seperti kerang busuk.
“Sebelum kita tadarus, Syafiqa ada satu benda nak bagitahu,”
Hazim menyengetkan mulutnya, “Apa Syafiqa-Syafiqa ni? Kan dah bagitahu sebelum solat tadi, bahasakan diri tu sayang. Kan sedap bunyinya,”
Syafiqa tertunduk malu.
“Apa benda tu? Tak boleh tunggu waktu nak tidur nanti?” Hazim tukar posisi dengan bersila. Badannya dibongkokkan sedikit. Lebih selesa begitu.
“Abang ingat tak minggu lepas, sewaktu hantar barang ke rumah, abang ada tanya dua soalan. Ingat lagi?”
Hazim meraup mukanya dengan kedua belah tapak tangan, “Kenapa nak ingatkan semula cerita tu? Malu pun ada, geram pun ada. Sayang tak ada cerita lain ke malam-malam ni?”
Syafiqa tersenyum memanjang.
“Sayang minta maaf sangat-sangat untuk perkara-perkara yang lepas selama kita bertunang,”
“Kan manis bahasakan diri tu sayang. Sejuk telinga ni dengar. Nasib baiklah kita tak tadarus lagi. Kenapa nak minta maaf? Sayang tak ada buat salah pun,”
“Yalah, sayang ni kan dingin memanjang. Kalau dengan abang, suara ni kalau tak tinggi memang tak sahlah. Lepas ni sayang dah tak macam dulu dah. Sebelum kahwin je sayang lain sikit. Ada sebabnya kenapa sayang buat begitu. Dan jawapan kepada soalan abang tu pun sayang memang dah ada. Lama dah sebenarnya,”
Hazim setia mendengar. Dia sengaja membiarkan isterinya menghabiskan segala katanya sebelum dia bicara semula.
“Soalan pertama, kenapa sayang terima pinangan abang? Jawapannya satu je, sebab sayang mahukan redha Allah. Bila ibu dan abah datang jumpa sayang dan beritahu hajat abang tu, sayang memang tak tahu nak respon macam mana. Sayang istikarah dan bincang dengan ibu dan abah, mereka terima dengan hati terbuka kalau abang jadi menantu mereka. Redha ibu dan abah itu juga merupakan redha Allah kan, abang?”
“Soalan kedua, abang ni lelaki sweet ke tak? Jujur dari hati ni, abang memang seorang yang sweet. Sayang cakap ni bukan sebab nak sedapkan hati abang, tapi memang betul abang sweet. Sweet abang tu sangat terserlah bila abang datang jumpa ibu dan abah untuk meminang sayang. Sangat sweet. Dan bila dah jadi suami sayang ni pula, bertambahlahsweet,”
Hazim membetulkan songkoknya sambil tertunduk-tunduk menahan malu. Hidungnya sedikit kembang kerna terasa dihargai dan bangga bertindak begitu dahulu.
“Alhamdulillah. Seronok dan bahagia abang dengar semua ni. Kenapa tak bagitahu waktu abang tanya dulu?”
“Sebab waktu tu abang masih belum jadi suami sayang lagi,”
“Abang tak faham. Apa maksud sayang?” Hazim meminta penjelasan.
“Abang, seorang isteri akan mendapat pahala sekiranya apa yang dia lakukan itu menyenangkan dan menggembirakan hati suaminya. Malah, bila isteri memandang wajah suaminya dengan penuh rasa cinta dan sayang pun Allah bagi pahala. Sayang simpan jawapan sayang ni sampailah abang sah bergelar suami sayang. Bezanya, jika sayang bagitahu abang sebelum kita akad, sayang telah menyenangkan hati seorang tunang. Tetapi sekarang ni, hati seorang suami yang sayang senangkan. Sayang tak nak terlepas nak dapat pahala yang Allah telah janjikan untuk kita,”
“Allah… Allah… Allah… Sampai ke tahap itu sayang fikir. Ini yang buat abang makin sayang sangat kat sayang manis ni,” mata Hazim tetap pada isterinya.
“Terima kasih sayang. Insya Allah, abang akan jaga amanah Allah ini dengan baik,” sambungnya lagi.
“Sayang pun,” balas Syafiqa yang tidak lekang dengan senyumannya.
“Mari kita tadarus. Masanya kita untukNya pula,”
Syafiqa bingkas bangkit mengambil dua naskhah Al-Quran dan kembali bersimpuh di hadapan suaminya.
Lelaki yang sweet itu akan lebih tampak sweet apabila agama menjadi tunggak utamanya.
*************************
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...