Oleh : Nor fatiah Yadz
” Assalamualaikum”
” Waalaikummusalam” Nur Firzanah Izzati menyahut salam itu. Dia berpaling dan kemudian tersenyum pada gerangan yang memberi salam.
” Akak tengah sibuk ke? Maaf Huda menganggu” Ucap Adibah Khairinah Huda sesudah bersalaman dan berlaga pipi dengan Firzanah.
” Taklah, ada apa Huda datang bilik akak ni?”
” Urm, tadi Umi pesan pada Huda, ada ukhti baru akan datang esok. Umi minta akak yang menyambut dia, dan menjadi mentor”
Firzanah Izzati mengangguk perlahan dan tersenyum.
” In Syaa Allah. Dari mana ukhti tu?”
” Kuala Lumpur” perlahan sahaja Khairina Huda menuturkannya. Wajah muda itu sedikit redup dan kelat. Firzanah sekali lagi tersenyum dan mengusap bahu Huda perlahan. Faham dengan gelojak perasaan Huda kala ini.
” Tak semua manusia itu sama sifatnya, Huda. Jangan pernah kita bersangka buruk, bimbang akan menjadi fitnah. Kita di sini, semuanya sama sahaja. Baik atau tidak seseorang itu, hanya Allah yang tahu, bukan tugas kita untuk menilainya”
Huda melempar senyuman hambar. Benar, tidak semua orang bersikap seperti Raina. Anak kota Metropolitan Kuala Lumpur yang sukar dijinakkan. Jauh tersasar dari landasan Islam. Pengalaman sebulan lalu menjadi mentor Raina, bagaikan satu episod hitam dalam diri Huda, sepanjang setahun mencurah bakti di Rumah Raudhah ini. Selama dia berkhidmat di sini, hanya Raina yang gagal di bimbing. Anak muda itu terlalu asyik dengan dunia remajanya. Pelbagai usaha dilakukan, agar Raina kembali ke pangkal jalan. Namun, hatinya telah dikotori dan dijajahi tuntutan nafsu yang membuatkan dirinya gelap dengan Nur Islam.
” Huda……. sudah sampai mana berkhayal tu?” Tepukan lembut di bahu Huda membawanya kembali ke alam nyata. Dia ketawa kecil. Malu kerana sempat berkhayal di hadapan Firzanah.
” Maaf kak. Huda terkenangkan sesuatu. Erm, tak apalah. Huda minta diri dulu. Esok jangan lupa ya, jam 9 pagi, umi tunggu akak di pejabat.Assalamualaikum”
” In Syaa Allah. Terima kasih sampaikan pada akak. Waalaikummusalam”
****************************************
Farhan Zikry asyik memandang sesusuk tubuh yang sedang berbual di Pondok Baiti Jannati. Terasa tenang saat melihat wajah itu. Ada rasa cinta dan bahagia yang mengalir dalam hatinya. Tidak semena senyuman mekar dan merekah di bibir merahnya.
” Subhanallah, indahnya ciptaanMu. Persis bidadari ” Farhan mengumam sendiri. Tanpa sedar ada mata yang memerhati perlakuannya sedari tadi. Umar Abdul Aziz menggeleng.
” Apa kau buat di sini, Farhan?” Soal Umar perlahan. Bimbang ada warga muslimat yang melihat mereka. Pagar dihadapan mereka di bina bagi memisahkan kediaman Raudhah dan Baitul Ummah. Selain bagi melindungi para puteri, tujuannya juga adalah bagi mengekang permasalahan seperti dihadapan mata Umar kini berlaku.
Farhan nyata terkejut dan pantas mengurut dada. Matanya hanya dialih sekilas. Kemudian, kembali dilempar pada Firzanah Izzati di hujung sana. Umar turut sama memandang , ingin mencari tau apa penyebabnya. Kemudian dia beristigfar dan menarik Farhan jauh dari situ.
” Kenapa kau ni Umar? Tiba-tiba tarik aku?” Farhan sedikit marah. Dahinya berkerut-kerut. Umar mengeluh berat dan menggeleng.
” Apa yang kau lakukan tadi salah, Farhan! Kau mengintai bukan muhrim mu”
” Aku cuma ingin melihat wanita yang berjaya mencuri hatiku, apakah itu salah?”
” Kau terlalu mengikut tuntutan hawa nafsu dalam diri kau.Bukan begini caranya, kalau kau menyukai dia.Setiap hari kau mengintai, setiap malam kau bermimpikan dia.Apapun alasan pada cinta kau, caranya tetap salah!”
” Aku tak nampak di mana salahnya? Bukankah adam dan hawa itu dicipta untuk saling mencintai dan menyayangi. Salahkah aku untuk melihat dan mendekati wanita itu?” Farhan protes. Tidak puas hati dengan cara Umar menegurnya.
” Kau bukan sekadar melihat, tapi kau memujanya. Setiap saat hari kau ditemani dengan bayangan Firzanah Izzati. Kau sudah terlayar jauh dengan bayangan cinta, hingga kau lupa pada batasnya. Jika benar kau menyintainya, lakukan ia kerana Allah, bukan kerana nafsu cinta”
” Ah, kau saja cemburu dan iri pada aku. Kau juga menyintai dia, bukan?”
Umar Abdul Aziz sekali lagi menggeleng. Sudah habis daya mahu menasihati akhi ini.Umar masih mahu menasihati Farhan, namun terbantut tatkala ada akhi yang memanggilnya. Umar menepuk bahu Farhan perlahan sebelum beredar. Farhan termanggu sendirian. Dia kembali memandang pondok dimana Firzanah duduk sebentar tadi, namun wanita itu sudah tiada. Dia mengeluh perlahan dan melangkah ke Baitul Ummah.
*****************************************
Firzanah Izzati mendekati seseorang yang sedang bersembunyi di belakang bangunan Asrama Sumaiyyah. Kelihatan asap kecil berkepul di balik dinding. Firzanah menutup hidungnya, tidak tahan dengan bau yang kurang enak.
” Siapa tu?” Firzanah bersuara perlahan. Nyata sahutan kecil itu mengejutkan dua orang sahabat baru yang sedang asyik menghisap batang rokok. Lekas-lekas mereka mematikannya. Firzanah terpana dan mengucap dalam hati. Ada rasa marah yang bertandang, namun disabarkan hati.
” Alyana, Raisya…. apa kamu berdua buat ni?” Firzanah bersuara tenang.
” Buta ke apa? Dah nampak buat-buat tanya pulak. Huh!” Alyana bersuara keras dan bongkak. Sejak hari pertama datang ke sini, dia sudah benci dengan semua warga Rumah Raudhah ini. Semua benda ditegah. Terlalu banyak peraturan hingga dia menjadi rimas. Raisya hanya diam dan tersenyum sinis. Dia bersandar di dinding dan menghidupkan sebatang rokok. Asap dari mulutnya di hembus perlahan ke muka Firzanah.
” Raisya, akak minta kamu hentikan hisap benda tu. Bahaya untuk kesihatan kamu. Lagipun, peraturan di rumah ini……
Belum sempat Firzanah menghabiskan kata-katanya, satu tamparan kuat hinggap di pipi. Raisya mencerlung memandang Firzanah dengan perasaan amarah. Jarinya diunjuk tepat dihadapan muka ‘mentor’ nya itu.
” Mind your own bussiness. Get it? Ini baru amaran pertama aku. Sekali lagi kau menyibuk hal aku, aku akan pastikan kau menyesal hidup dekat dunia ni!” Raisya memberi amaran sebelum meninggalkan Firzanah yang masih terduduk di tanah.
Firzanah memejamkan mata dan berselawat bagi menenangkan hatinya. Berhadapan dengan anak kota seperti Raisya dan Alyana, kesabaran dan ketabahan dalam diri perlu ada dan sentiasa disemat dalam jiwa. Perlahan Firzanah bangun dan bersandar seketika di dinding. Dadanya yang terasa sebak diusap perlahan.
‘Bantulah aku untuk membimbing dia Ya Allah. Kaulah sumber kekuatan HambaMu ini’
******************************************
Raisya berjingkit perlahan menuju ke pagar belakang asrama. Dia nekad. Malam ini dia perlu melarikan diri. Sebulan di sini sudah cukup menyeksa jiwa dan raganya.Malam ini adalah masa paling sesuai untuk dia melarikan diri kerana semua warga Raudhah sedang membaca Yaasin di surau. Mujur dia diberi kelepasan untuk berada di asrama atas alasan senggugut.
” Ah, shit! Kunci pulak pagar ni!” Raisya merungut. Pagar besi itu ditendang kuat. Dia memandang sekeliling. Tiada jalan keluar lain lagi, selain memanjat tembok. Raisya menarik nafas perlahan. Dia bergerak ke arah tembok yang sedikit rendah di bahagian atas tanah yang membukit.Perlahan dia memijak tembok dan melompat keluar.
” Aduh!” Raisya menjerit kuat saat kakinya seakan terlipat sewaktu melompat turun. Raisya menggosok kakinya perlahan. Kemudian dia bingkas bangun, dan berjalan dengan kaki yang berdengkot.
” Assalamualaikum”
Raisya kaget. Ada satu suara yang menyapa di belakangnya. Raisya mengetap bibir perlahan. Hendak berlari , kakinya pula sakit. Perlahan dia menoleh. Matanya dikecilkan dek sinaran lampu suluh tepat ke wajahnya.
Umar Abdul Aziz cuba melihat wajah seseorang dihadapannya kini. Namun seketika kemudian dia mengalihkan wajah. Beristigfar melihat penampilan gadis di hadapannya. Tanpa tudung dan baju yang tidak cukup kain.
” Mahu ke mana malam-malam begini?” Umar bersuara tanpa memandang gadis itu. Raisya hanya mencebik. Jijik dengan lelaki itu yang tidak mahu memandangnya.
” Bukan urusan kau!” Raisya bersuara angkuh.
” Menjadi urusan saya , kerana malam ini saya bertugas mengawal seluruh kawasan rumah ini. Saudari warga Raudhah bukan?” Umar ingin mendapatkan kepastian. Namun tiada jawapan. Mahu tidak mahu, dia terpaksa memandang gadis itu, walau ianya satu penyiksaan. Raisya mengeluh malas , kemudian mengangguk perlahan.
” Saya nasihatkan , saudari masuk lah semula ke dalam. Tak elok lari , dengan pakaian begini….” Umar sudah tidak sanggup meneruskan kata. Sebolehnya dia mahu perbualan ini habis seringkasnya.
” Kau siapa nak halang aku? Bangsat macam kau, layak bercakap dekat tapak kaki aku je , faham?”
Mencerlung mata Umar mendengar kata-kata wanita itu. Ikutkan amarah yang merajai hati, pasti tangannya sudah naik di wajah gadis itu. Lekas dia mengingatkan hati agar bersabar dan tidak termakan hasutan syaitan.
” Saudari yang tak layak untuk bercakap dengan orang macam saya. Cermin diri sendiri dulu, sebelum hendak menuduh bangsat pada orang lain” pedas kata-kata Umar, membuatkan Raisya menggigit bibir geram.
” Tolong hormat bila bercakap dengan aku. Sedar diri kau siapa, bodoh!”
Raisya sudah berpaling dan melangkah tanpa menunggu kata balas dari lelaki itu. Umar diam seketika. Dia tidak boleh membiarkan gadis itu pergi. Pantas dia melangkah dan mengejar gadis itu yang sudah menjauh. Tangannya dililit dengan kain pelekat yang tergantung di bahunya, sebagai alas.
” Do respect others to gain respect , saudari ” Umar bersuara perlahan sebelum memukul belakang tubuh gadis itu selembut yang boleh. Lega kerana cara yang dipraktik berhasil. Titik pukulan yang tepat dan lembut sebegitu, mampu merebahkan Raisya.Tidak sia-sia dia belajar cara mempertahankan diri itu dengan guru silatnya dahulu.Setelah pasti gadis itu tidak sedarkan diri, Umar pantas berlari ke Raudhah, bagi memaklumkan perkara ini kepada pengetua Rumah Raudhah.
******************************************
” Firzanah Izzati, sebentar!” langkah Firzanah dan Huda terhenti tatkala ada suara yang menyahut mereka. Firzanah berkerut dahi. Dia menjarakkan sedikit dirinya, kerana berhadapan dengan bukan muhrim.
” Cari saya?” Soal Firzanah pada pemuda dihadapannya itu.
” Boleh saya berbicara dengan awak… berdua?” pinta Farhan Zikry. Tidak senang dengan kehadiran Huda di situ. Huda faham dan ingin berlalu, namun Firzanah menegah.
” Tak apa, saya lebih selesa begini. Ada apa ya?”
Farhan menggaru kepalanya yang tidak gatal. Malu untuk berbicara dengan adanya orang lain di situ. Hatinya jadi tidak keruan. Dadanya dihurung debar.
” Maaf, kalau tak ada apa, saya minta diri dulu. Assalamualaikum” Firzanah sudah mahu berlalu, Farhan segera berlari ke hadapan Firzanah, serta merta menghentikan langkah Firzanah dan Huda. Firzanah mengurut dada perlahan akibat terkejut. Dia berkerut dahi, tidak senang dengan perlakuan pemuda itu.
” Saya….
Farhan masih resah. Sementara Firzanah sabar menanti perkara yang mahu diucapkan lelaki itu. Perlahan Farhan memandang, dan menatap wajah Firzanah, untuk mencari kekuatan.
” Saya, …. saya sukakan awak Firzanah. Saya cintakan awak, sejak dari hari pertama saya melihat awak. Awak telah berjaya mencuri hati dan jiwa saya”
Agak terkejut Firzanah mendengarnya.Begitu juga dengan Huda. Mereka saling berpandangan. Tidak sangka penghuni Baitul Ummah itu, berani meluahkan perasaan empat mata pada Firzanah dengan cara begini.
” Terima kasih. Saya hargainya. Tapi, cara awak ni salah. Maaf, saya minta diri dulu”
” Apa kurangnya saya, Firzanah? Kenapa awak menolak saya? Saya ikhlas mencintai awak!”
Langkah Firzanah sekali lagi terhenti. Berminat dengan perkataan ‘ikhlas’ yang digunakan lelaki itu. Firzanah tidak berpaling menghadap lelaki itu. Cukup sekadar keadaan mereka yang saling membelakangi. Huda di sisi hanya diam.
” Jika benar awak mencintai saya, apakah awak mahu memeluk tubuh saya sekarang? Saya mahukan pelukan itu”
Huda menekup mulut mendengar kata-kata Firzanah itu. Matanya dibuntangkan dan lengan kakaknya itu ditepuk perlahan. Firzanah hanya menguntum senyum. Farhan terdiam, dadanya semakin berdebar. Jika wanita itu halal untuk dia sentuh, pasti sudah lama dia lakukan itu.
” Awak menguji hati saya Firzanah. Hati saya bergetar mendengarkan itu. Andai sahaja saya boleh lakukan itu” bergetar suara Farhan. Dadanya diasak dengan rasa debar yang menggunung.
Firzanah tersenyum lagi.
” Jadi dengan itu, awak masih belum ikhlas mencintai saya. Jika tidak diikutkan kewarasan akal, dan rasa dosa dalam diri awak, pasti awak sudah meluru dan memeluk saya kala ini kan?”
Farhan hanya diam. Firzanah bersuara lagi.
” Peluklah cinta Allah , sebelum awak mengucap cinta pada saya. In Syaa Allah. Jika ada jodoh antara kita, tiada wasangka lagi untuk awak memeluk saya sebagai yang halal buat awak. Ikhlaskan hati awak, dan niatkan untuk mencintai saya kerana Allah, bukan kerana nafsu. Assalamualaikum”
Firzanah mengatur langkah bersama senyuman yang masih meniti di bibir. Begitu juga dengan Huda. Sebentar tadi dia terkejut dengan kata-kata berani Firzanah, namun kini dia faham. Sungguh bijak kakaknya itu mengatasi situasi seperti tadi. Kagum dia dengan keperibadian Firzanah.
***************************************
Farhan Zikry termanggu di beranda asramanya. Kata-kata Firzanah seminggu lepas masih terngiang di telinganya. ‘Cintai dia kerana Allah? Apa maksud dia’.
” Ah, tak boleh jadi ni. Boleh gila aku dibuatnya” Farhan bersuara. Langkah panjang di atur ke bilik Umar Abdul Aziz. Hanya lelaki itu yang mampu membantu meleraikan persoalan yang bermain di mindanya kala ini.
” Biar aku tanya pada kau, mengapa kau tertarik hati pada dia? Apakah kerana keimanannya, agamanya, atau kelembutan hati dan bicaranya?” soal Umar setelah Farhan usai bercerita dan meluahkan rasa.
Farhan terdiam. Semua itu tidak tersenarai dalam ‘mengapa Firzanah dicintai’ . Dia masih tiada peluang berbicara empat mata dengan wanita itu, dari mana dia mahu mengetahui peribadi Firzanah? Pertemuan hari itu adalah yang pertama dan terakhir.
” Kenapa kau diam? Kau tak boleh jawab soalan aku , bukan? Apakah kerana kau jatuh cinta pada dia kerana tampak wajahnya yang cantik? Atau kerana manisnya senyuman dia?” agak sinis kata-kata Umar, membuatkan Farhan sedikit terpana. Umar tersenyum dan menepuk bahu sahabatnya itu.
” Senjata wanita itu amat tajam bagi melemahkan kita kaum adam. Syaitan Laknatullah itu tidak pernah beralah untuk menyesatkan kita umat Islam.Jalan utama syaitan dalam merasuk dan memperdayakan manusia adalah melalui solat, ketika marah dan yang terakhir adalah wanita”
Umar menarik nafas perlahan sebelum menyambung bicara.
” Dalam surah An Nur ayat 30 ada menyebut, ‘katakanlah kepada lelaki yang beriman, agar mereka menjaga pandangannya’ . Faham maksudnya?”
Farhan menggeleng perlahan. Dia faham dengan ayat itu, namun pasti ada maksud tersirat yang lain.
” Sesungguhnya, ibu kepada maksiat itu adalah mata. Seperti yang berlaku pada kau , Farhan. Kau terjebak dalam maksiat mata dimana kau tertarik pada penampilan Firzanah dari segi luaran sahaja, tanpa mengetahui isi dalamnya. Memang tidak dinafikan, Firzanah itu baik akhlaknya. Tapi , biarlah ikhlas hati itu kerana Allah, bukan kerana jatuh cinta dengan peribadi luarannya semata-mata”
” Apa maksudnya , mencintai dia kerana Allah? Aku kurang mengerti”
Umar tersenyum.
” Pasti kau tahu firman Allah yang berbunyi ‘perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik’ bukan?”
” Apa pula perkaitannya dengan soalan aku tadi?” ujar Farhan tidak sabar.
” Begini. Jika mahukan pasangan yang baik dan solehah, mengapa tidak kita menjadi soleh terlebih dahulu. Memang tidak dinafikan, hidup berumah tangga, suami isteri itu perlu saling melengkapi. Yang baik ditambah, yang buruk diperbetulkan. Namun perlu kita ingat, kita sebagai pemimpin dan ketua keluarga, perlu menjadi teladan yang baik buat pasangan dan anak-anak kita. Jadi, maksud di sebalik, mencintai pasangan kita kerana Allah ialah, kita mencintai dia atas rasa cinta yang dikurniakan Allah, ikhlas dari hati. Allah mempertemukan kita dan dia, dengan cara yang baik, dari jalan yang diredhai.Faham?”
” Maksudnya selama ini, cara aku mengejar Firzanah itu, salah? Ya Allah. Aku khilaf Umar. Benar kata kau, aku terlalu mengikut tuntutan nafsu dan bisikan syaitan. Aku terlalu ingin memiliki Firzanah hingga lupa pada diri sendiri yang masih belum bersedia dan masih kurang kecintaan aku pada Allah sendiri”
Umar mengangguk. Lega kerana Farhan sudah mulai sedar dengan silapnya.
” Justeru, jangan pernah biarkan hati kau itu mencintai sesama manusia, melebihi kecintaan kita kepada Allah SWT, sahabat”
Farhan tersenyum dan mengangguk. Kemudian dia mendakap erat tubuh Umar.
” Terima kasih sahabat. Kau dah sedarkan aku dari terus jauh terhanyut”
” Afwan. Sudahlah tu. Nak masuk waktu dah ni, giliran aku imam hari ni” Umar sudah bangkit dan melangkah ke Surau. Farhan menuntun langkah Umar dari belakang. Di pertengahan jalan, langkah Umar terhenti. Dia bagai tidak percaya apa yang dilihat depan matanya kala ini.
” Allah sahabat, baru saja kau nasihatkan aku. Sekarang kau pula yang terpegun melihat hawa? Sudah, mari masuk!” Farhan menepuk bahu Umar kuat , mendorong Umar mematikan pandangannya pada sekumpulan jemaah wanita yang baru melintasi mereka. Berkerut dahi Umar. Apakah itu dia? Benarkah?
******************************************
Raisya memperlahankan langkahnya. Dia terduduk menahan sakit. Seluruh tubuhnya terasa lemah. Bibirnya yang mengalir darah merah pekat diseka perlahan. Saat ini dia terlalu mengharapkan pertolongan. Dia berdoa dalam hati agar ada insan yang melihat dia terdampar di sini. Raisya cuba untuk bangkit dan terus melangkah, namun injak kaki terasa lemah, dan tubuhnya melayang. Perlahan mata semakin kabur dan terpejam erat.
” Kak, dia dah sedar ” terdengar suara halus berbisik di sisinya. Perlahan Raisya membuka mata. Tempat yang begitu asing buat dirinya. Dimana?
” Raisya, kak Firzanah ni. Raisya ok ke, ada sakit mana-mana tak?”
Raisya berpaling. Dia kenal dengan suara itu. Tapi mengapa dia ada disini? Raisya cuba memutarkan kembali apa yang terjadi. Saat peristiwa itu kembali terlayar di mindanya, Raisya memegang kepalanya. Terasa sakit.
” Huda, tolong panggil doktor ” pinta Firzanah. Huda mengangguk dan pantas meninggalkan bilik wad.
” Aku dekat mana ni?”
” Raisya ada dihospital. Akak jumpa Raisya, pengsan depan masjid dekat area Raudhah. Apa yang jadi sebenarnya?”
Raisya mempamer riak kurang senang. Wajahnya dimasamkan.
” Kau keluar. Aku nak tidur!”
Firzanah sedikit tersentak dengan teriakan Raisya itu. Namun dia tidak bersegera marah. Disabarkan hati kerana faham dengan situasi Raisya yang masih sakit. Perlahan dia berundur, dan menapak keluar dari bilik, tidak mahu menganggu Raisya yang ingin beristirehat.
*******************************************
” Tolongggg!!!!!!!!”
Raisya tersentak. Dia bangun dari tidur. Wajahnya berpeluh-peluh. Mimpi tadi benar-benar menakutkan. Serta merta seluruh tubuhnya menggigil. Airmatanya laju mengalir tanpa dapat ditahan. Bayangan mimpi tadi berlegar-legar di mindanya. Raisya memandang sekeliling bilik. Sunyi tidak berpenghuni. Mana Firzanah? Kenapa aku bersendirian?
Dengan langkah yang lemah, dan tubuh menggigil, Raisya menapak keluar dari dorm. Dia perlukan seseorang untuk berkongsi rasa. Dia jadi takut untuk terus hidup di dunia ini. Dia perlukan bimbingan. Firzanah, dia mampu membantu aku!
Wahai Tuhan ku tak layak ke SyurgaMu
Namun tak pula aku sanggup ke NerakaMu
Ampunkan dosaku terimalah taubatku
SesungguhNya Engkau lah Pengampun Dosa dosa besar
Raisya terduduk di muka pintu. Alunan yang sayup-sayup dari surau muslimat itu begitu meruntun hatinya. Sebak kembali bertandang dan melanda hebat dalam dirinya. Raisya memegang dadanya terasa perit dan pedih. Jiwanya terluka dengan kejahilan diri selama ini.
” Raisya , kenapa ni?” terkejut Firzanah saat melihat Raisya yang sedang terduduk sayu di muka pintu surau. Dia tunduk dan memeluk tubuh anak muda itu yang sedang tenggelam dalam tangisan.
” Bantu Raisya kak, bantu saya. Saya jahil! Saya bodoh!” Raisya terus mengogoi dan meraung. Firzanah membisik kalimah Allah ditelinga Raisya agar anak muda itu kembali tenang.
” Sabar Raisya. Allah ada bersama kita. Akak akan bantu , sabar. Kita bincang dulu ya”
Firzanah menarik Raisya agar bangun.
*****************************************
Firzanah mengusap bahu Raisya perlahan. Walau sudah tiada tangisan, namun wajah itu masih pucat tidak bermaya. Tubuh Raisya juga menggigil bagai diserang demam panas.
” Raisya tenang ya. Ceritakan pada akak, kenapa kamu macam ni?”
Raisya mengangkat wajahnya. Bibirnya bergetar untuk berbicara.
” Saya dapat mimpi buruk kak. Tubuh saya…. dimakan ulat… kulit saya hangus terbakar… rambut saya …. dijilat api yang menjulang… sakit kak…. perit…. terasa seksa itu hingga kini… saya takut kak…. saya takut….”
Firzanah terdiam. Masya Allah. Mimpi itu rupanya yang membuatkan Raisya berubah sebegini sekali. Terima kasih Ya Tuhan, atas petunjuk yang berikan.
” Raisya… dengar cakap akak…….” Rambut Raisya diusap perlahan, dan Firzanah melempar senyuman.
” Raisya hambaNya yang terpilih. Allah beri petunjuk dan buka jalan pada Raisya untuk berubah. In Syaa Allah, akak akan bantu”
” Apakah ada ruang buat saya bertaubat kak? Saya kotor dan hina. Saya tak layak mendapat tempat yang baik di sisi Nya”
Firzanah menggeleng. Bahu Raisya dipegang kejab.
” Pintu taubat Allah itu selalu terbuka luas buat hambaNya. Tiada istilah cepat atau terlambat, asalkan hati kita benar-benar mahu bertaubat dan kembali pada cinta Nya. Akak akan bantu kamu, ya?”
Raisya mengangguk perlahan. Airmata yang masih membasahi pipi di seka perlahan.
********************************************
Umar Abdul Aziz merenung pondok yang dipenuhi beberapa orang penghuni Raudhah tidak jauh dari surau. Hatinya melonjak untuk mengatur langkah ke situ, mahu mendapatkan jawapan pada persoalan yang bermain di mindanya. Namun dia tiada keberanian untuk melakukan itu. Apakah benar Raisya yang dilihat beberapa minggu yang lalu? Jika benar , syukurlah. Dia sudah berubah.
” Kak, boleh terangkan lagi tentang usrah semalam? Tak puas rasanya dengar perbincangan semalam. Pada saya untuk berubah itu mudah, tapi nak istiqomah dan menetapkan itu, susah kak. Kadangkala, saya jadi alpa dan leka juga”
Firzanah tersenyum.
” Apa sebabnya yang membuat kamu tidak tetap hati?” soal Firzanah pada adik-adik di hadapannya. Ukhti itu kelihatan berfikir seketika sebelum menjawab pertanyaan Firzanah.
” Erm… kadang-kadang di sekolah, saya jadi cemburu melihat kawan-kawan perempuan yang lain bergaul mesra dengan rakan lelaki sekelas tanpa batas pergaulan. Hati saya terasa mahu ikut serta dengan mereka, seperti diri saya dahulu”
” Kawan kamu tu Islam atau tidak?”
“Sebahagiannya Islam kak”
Firzanah mengangguk.
” Akak sentuh pasal perubahan dahulu ya, baru masuk bab istiqomah”
Ukhti yang lain mengangguk bersetuju.
“Kita hidup ni perlukan perubahan untuk menjadikan diri kita lebih baik di masa hadapan. Kita semua, dilahirkan sebagai Islam. Sejauh mana kita mematuhi syariatnya, itu terletak pada diri kita. Walau bagaimana jahil sekalipun diri kita, pasti terselit secebis rasa keimanan dalam diri. Mengapa?”
“Sebab kita dilahirkan sebagai islam?” Fatiah meneka. Firzanah tersenyum dan mengangguk.
” Kerana itu kita perlu bangga menjadi seorang muslim. Kita dididik menutup aurat, menjaga tutur kata, menjaga perlakuan dan semua peraturan serta perkara yang dilandaskan Islam.Tapi cuba lihat muda mudi sekarang? Berlumba-lumba mendedah aurat sini sana dan budaya barat itu terlalu asyik menular dalam diri mereka. Apakah dengan melakukan semua itu mampu buat hati mereka bahagia?”
Masing-masing diam dan menggeleng. Dahulu mereka juga begitu sebelum dihantar ke Rumah Raudhah ini. Terleka dengan duniawi yang melalaikan.
” Mengapa tidak bahagia? Jawapannya di sini. Hati dan jiwa mereka kosong, tanpa kemanisan iman.Kita terasa yang menutup aurat itu perkara kolot, ketinggalan zaman. Bertudung itu merimaskan. Padahal itu adalah tuntutan agama. Ia juga melindungi kita dari mata-mata yang bisa menimbulkan fitnah”
Firzanah berhenti seketika. Memandang satu persatu ukhti di hadapannya yang sudah menundukkan wajah. Mungkin kesal dengan masa lalu mereka.
” Kita terlalu ingin bersaing dengan golongan bukan Islam lain yang bebas mendedah aurat sini dan sana. Tapi apa yang kita dapat selepas itu? Sekadar menjadi bahan tontonan dan menambah dosa. Allah ada berfirman dalam surah Ali ‘Imran ayat 39 yang berbunyi:
” Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah(pula) kamu bersedih hati,
padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya),
jika kamu orang-orang yang beriman”
” Setiap manusia itu adalah sebaik-baik kejadian. Darjat dan kedudukan kita sebagai orang Islam adalah paling tinggi dan terhormat. Jadi mengapa kita sewenang-wenangnya menjatuhkan darjat itu, menjadikan diri kita bagai tiada harga?”
Firzanah berhenti lagi, menarik nafas seketika.
” Kerana itu iman yang secebis tadi , perlu dicambah dan dibajai dengan taqwa. Seperti yang selalu akak katakan, pintu taubat Allah itu Maha Luas. Allah sedia menerima hamba-hambaNya yang dengan ikhlas menghampiri taubat. Sekarang, cara untuk beristiqomah pula”
” Ini yang ditunggu dari tadi” Fatiah bersuara sambil tersengih. Kata-katanya disambut tawa teman yang lain. Firzanah turut sama tersenyum dan menggeleng.
” Ok, akak mahu semua beri pendapat. Bagaimana untuk istiqomah?”
” Urm, kawan dan masyarakat sekeliling?” Farisha memberi pandangan. Firzanah tersenyum dan mengangguk.
” Cuba huraikan maksudnya”
” Macam kes Fatiah tadilah. Bila ada kawan-kawan yang menunjukkan teladan tidak baik, kita perlu elakkan diri dari mereka. Kita buat kerja lain ke, keluar dari kelas ke. Senang cerita jauhkan diri daripada terjebak”
” Betul Farisha. Selain tu biar akak tambah ya” Huda pula bersuara. Sedari tadi dia hanya diam, membiarkan Firzanah bersuara. Firzanah dan yang lain mengangguk , memberi laluan pada Huda untuk berbicara.
” Kita juga perlu sering melazimi majlis ilmu dan menjaga ibadah kita. Majlis ilmu tu samalah dengan usrah, ceramah agama. Akak rasa tak jadi masalah sebab kita di sini, hampir setiap minggu ada pengisian majlis ilmu. Bagaimana pula dengan ibadah?”
Wajah adik-adik dipandang.
” Ibadah juga perlu dilaksanakan secara istiqamah. Selain solat lima waktu, dan solat sunat yang lain, kita juga boleh jadikan berpuasa sebagai jihad menentang hawa nafsu”
” Erm, macam mana tu kak?” Fatiah bertanya dengan penuh minat.
” Maksudnya dengan berpuasa, dapat mengelakkan diri kita dari menghampiri kemungkaran. Puasa tu bukan sahaja melawan nafsu makan dan minum, ia mendidik kita bersabar, menjaga perlakuan dan sebagainya. Jadi melalui itu, kita akan terpelihara dan sentiasa beringat setiap kali menghampiri sesuatu yang tidak disukai Allah”
” Oh… macam tu…” Fatiah dan yang lain mengangguk faham.
” Dan, akhir sekali. Istiqamah itu boleh dibantu dengan mendampingi golongan soleh. Maksudnya, bila kita tak faham, atau keliru akan sesuatu, bersegeralah bertemu dengan seseorang yang kuat agamanya dan berpengetahuan. Dari mereka juga kita lebih banyak belajar benda baru dan raih pengalaman” Firzanah menambah. Huda tersenyum dan berterima kasih dengan penambahan point itu. Dia hampir terlupa.
” Jadi kak…………..” Soalan Farisha tergantung tatkala ada seseorang yang berlari ke arah mereka.
” Kenapa ni Maryam?”
” Kak … Raisya…. dia…. dia pengsan dalam dorm!” Maryam menerangkan dengan nafas tercungap-cungap. Firzanah dan yang lain nyata terkejut. Pantas sahaja dia bangkit dan melangkah laju ke asrama.
Umar Abdul Aziz yang sedang berbual bersama Farhan Zikry dan beberapa warga Baitul Ummah berkerut dahi melihat Firzanah yang berlari seakan ada kecemasan. Dia pasti ada sesuatu yang berlaku, saat melihat warga Raudhah yang lain turut bergerak ke arah yang sama.
” Farhan, ikut aku sekejap” Umar sudah bangkit dan menarik Farhan, masuk ke Rumah Raudhah.
” Kenapa Huda?” soal Umar pada Huda yang baru sahaja melintasi mereka.
” Oh, akhi Umar. Erm., ada ukhti pengsan. Kedaannya membimbangkan. Tapi sekarang umi dan abi tak ada. Saya nak call ambulans”
Umar dan Farhan berpandangan. Kemudian Umar memandang kereta milik abi di Baitul Ummah.
” Beginilah, biar akhi hantarkan. Huda dan kak Firzanah ikut sekali. Sebentar akhi ambil kereta”
***********************************
Umar hanya diam dihujung kamar. Tidak berniat untuk masuk campur. Sebentar tadi mereka dikejutkan dengan perkhabaran bahawa Raisya disahkan mengandung anak luar nikah. Berita itu amat mengejutkan. Firzanah terpaksa menghubungi abi dan umi , bagi memberitahu masalah ini.
” Umi, abi. Fir rasa, seeloknya kita sampaikan pada ibu bapa Raisya. Kita cuba bincang baik-baik, mana tahu mereka boleh terima ” Firzanah bersuara, sementelah melihat masing-masing hanya berdiam. Di bilik itu hanya ada dia, Raisya , umi dan abi, serta Umar. Farhan dan Huda diminta pulang, menjaga adik-adik yang lain.
Raisya menarik tangan Firzanah dan menggengamnya kejab saat mendengar usulan itu.
” Sebenarnya…. mama dengan papa dah tahu, tapi mereka tak terima kak. Saya dihalau dari rumah. Malam yang akak jumpa saya….papa yang pukul saya kak” Raisya membuka cerita yang sudah hampir dua bulan di simpan. Firzanah beristigfar dalam hati. Wajah abi dan umi dipandang.
” Tak apa Raisya. Kami ada untuk jaga kamu, hingga kamu bersalin nanti. Kamu jangan fikirkan hal lain, jaga kesihatan demi anak kamu tu” umi bersuara. Raisya dipeluk penuh kasih. Memang kasih sayangnya pada anak-anak Raudhah tidak berbelah bahagi. Semua adalah permata hatinya.
” Tapi saya berdosa umi. Saya berdosa pada Allah, pada anak ini. Saya tak sanggup dia lahir tanpa bapa. Kasihan anak saya umi” Raisya mengogoi di bahu umi. Umi hanya mampu diam. Pelukan dieeratkan dan bahu Raisya diusap perlahan.
” Allah ada bersama kita sayang. Ada hikmah disebalik sesuatu kejadian” bisik Umi perlahan.
*********************************************
Raisya termenung di dalam dorm. Anaknya yang sudah masuk usia 5 bulan dipandang sayu. Sukar untuk dia melepaskan buah hati pengarang jantungnya itu. Ibu mana yang rela melepaskan anaknya pergi. Hati Raisya dipagut sayu. Airmata menitis lagi malam ini, tanpa dapat ditahan.
” Raisya…….” Firzanah menyapa lembut dan duduk di sisi Raisya. Adam Haikal yang sedang lena tidur dipandang dengan senyuman. Namun senyumannya mati tatkala terkesan mata Raisya yang merah.
” Nangis lagi adik akak ni?”
Raisya hanya tersenyum hambar. Airmata diseka lemah.
” Kalau tak mahu lepaskan Adam, pertahankanlah dia. Raisya ada hak, sayang”
Raisya menggeleng. Pipi anaknya dielus perlahan.
” Adam tak kan bahagia bersama dengan saya kak. Biarlah dia pergi dengan keluarga angkat dia”
” Dan lepas tu, ibu Adam akan terusan menangis setiap malam mengenangkan anaknya, begitu?”
Sebak hati Raisya mendengarkan itu. Airmata yang gugur sudah tidak mampu diseka lagi. Dibiarkan membasahi pipi.
” Apa lagi yang mampu saya buat kak? Saya hanya ada Adam. Sebolehnya saya mahu berikan yang terbaik buat Adam, walau hati ini tidak sepenuhnya merelakan”
Firzanah tersenyum. Dia mengeluarkan kotak baldu merah dari dalam kocek jubahnya.
” Ada yang melamarmu , Raisya. Jika kamu menerimanya, tak perlu Raisya melepaskan Adam”
Raisya terkejut. Siapa yang sanggup mengambil diri hina ini menjadi teman hidup? Tak mungkin.
” Siapa kak?”
” Akhi Umar. Dia merisik kamu dari abi dan umi. Akak cuma jadi orang perantara sahaja”
Raisya terpempan. Lelaki itu?
” Saya tak layak buat dia kak. Akhi Umar terlalu baik” ujar Raisya sebak. Dia akui, sejak dia memilih untuk berubah, dan mengandungkan Adam, Umar Abdul Aziz banyak menghulurkan bantuan. Pensyarah di Universiti Islam itu terlalu baik pada Raisya, hingga dia malu dan terasa kecil saat membandingkan dirinya dengan Umar.
” Tiada manusia yang terlalu baik, dan juga tiada manusia yang terlalu jahat Raisya. Semuanya sama sahaja. Niat akhi Umar, mahu menjadikan Raisya yang halal buatnya, adalah baik. Akak tahu dia ikhlas, kerana Allah”
” Tapi kenapa saya kak? Sedangkan akak lebih layak buat dia, akak dan akhi Umar sama-sama berpelajaran, baik, soleh dan solehah. Saya tak layak kak”
” Akak tak pernah menyimpan perasaan pada dia melainkan sayang sesama sahabat dan saudara Islam. Tak lebih dari itu. Raisya tak usah khuatir ya.Raisya fikirlah apa yang terbaik buat kamu dan Adam. Istikharah , itu yang terbaik bagi mendapat jawapan yang tepat”
Raisya hanya mengangguk lemah. Wajah Adam dipandang. Fikirannya celaru, terima atau tolak?
************************************
Umar membuka perlahan sekeping kertas biru yang disampaikan padanya, usai kuliah maghrib tadi melalui seorang ukhti. Ucapan Bismillah meniti dibibirnya sebelum bait isi dibaca.
aku ini hanya seorang hambaNya yang penuh dosa dan kehinaan. Mengapa aku yang kau pilih bagi menjadi suri dihatimu? Apakah aku layak? Aku seorang yang hina, sering bergelumang dengan dosa, bersama puluhan lelaki di luar sana. Tubuh ini telah dicemari lumpur dan noda. Apakah layak aku menjadi yang halal buat seseorang yang baik sepertimu? Benarkah kau ikhlas ingin mengambil ku sebagai bakal isterimu, tanpa sebarang ragu dan penyesalan?
Umar membacanya dengan tenang. Isi dalam kertas itu terlalu panjang dan padat. Bermacam keburukan diri, semua di ceritakan oleh Raisya. Tiada satu yang tertinggal. Hingga ke baris ayat yang terakhir, Umar masih membacanya dengan tenang, dan mampu lagi tersenyum. Kertas biru itu kemudian dilipat. Sekeping kertas kecil di ambil dan ditulis surat balas buat Raisya. Usai, dia menitip pada Furqan yang kebetulan mahu ke Raudhah.
” Raisya, ada surat untuk kamu. Dari akhi Umar” Huda menghulurkan sekeping kertas kecil pada Raisya. Raisya menyambutnya dengan penuh debar. Secepat itu surat balasannya? Tidak semena hati Raisya jadi sesak dan tidak keruan. Dia melangkah pantas ke bilik dorm dan kebetulan Firzanah ada disitu.
” Kak, akhi Umar membalas surat saya”
” Oh ya, bacalah”
” Saya takut. Bimbang kalau dia……”
Firzanah tersenyum . Faham dengan kebimbangan Raisya. Mungkin dia gementar dengan penerimaan Umar setelah dia menceritakan semua kisah silammnya pada lelaki itu. Firzanah menepuk bahu Raisya lembut.
” Selawat banyak-banyak sebelum buka surat tu. Insya Allah, jawapannya baik. Akak keluar dulu ya” Firzanah memberi kata semangat sebelum menapak keluar dari bilik. Raisya menarik nafas panjang dan lakukan seperti yang disuruh Firzanah. Setelah hatinya terasa agak tenang, kertas berlipat kecil itu dibuka.
In Sya Allah, niatku ikhlas kerana Allah.
Raisya terdiam. Hatinya dihurung sebak yang menggunung. Seringkas itu jawapan Umar. Setelah segalanya diceritakan, segala keburukan di buka pada lelaki itu, dia masih ikhlas menerima aku , Ya Allah. Apakah benar dia lelaki yang atur oleh Mu buatku?
*********************************************
Huda tidak henti menangis di sisi Firzanah. Begitu juga Fatiah dan Farisha. Sebak melihat kakak kesayangan mereka itu terlantar begini. Seminggu yang lepas, Firzanah dimasukkan ke dalam wad akibat demam panas, kini mereka dikejutkan dengan perkhabaran Firzanah menghidap komplikasi hati.
” Sudah-sudahlah menangis tu, Huda. Buruk muka tu”
Firzanah masih mampu bergurau walau wajahnya begitu pucat tidak bermaya. Matanya juga sudah mulai kekuningan. Huda menepuk lembut lengan Firzanah yang sedang mengukir senyum.
” Akak ni, sempat lagi mainkan Huda. Orang tengah sedih ni”
Firzanah tersenyum lagi dan menarik Huda dalam dakapannya.
” Mati itu pasti sayang. Andai dah tiba ajal akak” Firzanah bersuara tenang. Dia sudah redha saat dikhabarkan masih belum ada penderma hati buat dia.Seluruh warga Raudhah juga sudah menjalani pemeriksaan, namun tiada yang sepadan. Tiada rasa sedih dalam hati Firzanah, malah dia bersyukur menjadi insan terpilih menerima ujian Allah ini. Tandanya Allah sayang pada dia.
” Acik kenapa duduk sini? Acik sakit ea?” Adam yang sudah pandai bercakap duduk di birai katil dan memegang tangan Firzanah. Firzanah ketawa mendengar soalan anak kecil itu.
” Ya sayang, acik sakit. Tapi acik happy, Adam ada dekat sini, temankan acik. Bolehlah acik sembuh cepat”
Adam mengerutkan dahinya. Kemudian memandang abi dan uminya.
” Eishh, acik ni. Adam bukan doktorlah.Kalau acik nak cepat sihat, kena makan ubat. Doktor cakap macam tu, kan abi?”
Umar tersenyum dan mengangguk. Kepala anaknya diusap perlahan. Raisya di sisi Umar hanya mampu tersenyum hambar. Simpati dengan nasib yang menimpa Firzanah.
” Hari ni adik-adik Baitul Ummah buat pemeriksaan. In Sya Allah, akan ada yang dapat bantu awak, Firzanah. Awak tabah ya” Umar bersuara. Firzanah tersenyum dan mengangguk.
” Terima kasih. kalau ada yang dapat membantu, alhamdulillah. Kalau tak ada , tak apa”
*******************************************
“Assalamualaikum”
Tersenyum Firzanah menjawab salam suaminya. Tangan lelaki itu dikucup perlahan.Walau sudah hampir dua tahun bergelar suami isteri, dia masih merasai kemanisannya berumah tangga. Suaminya sangat bertanggungjawab dan menjadi pengemudi yang baik. Firzanah bersyukur , dengan jodoh yang ditetapkan Allah ini.
” Abang nak makan atau rehat dulu?” Soal Firzanah sewaktu menanggalkan tali leher suaminya. Lelaki itu tersenyum dan mencuit pipi isteri tersayang.
” Solat dululah sayang. Dah masuk waktu ni kan?” Firzanah ketawa kecil.
” Saja nak uji abang. Manalah tahu suami sayang ni terleka”
Lelaki hanya mencebik. Tangan Firzanah di genggam erat dan mereka beriringan ke bilik menunaikan solat fardhu.
********************************************
” Kenapa sayang terima lamaran abang kali ni? Dulu mati-mati kena reject. Malu abang” Farhan bertanya pada Firzanah pada malam kedua mereka bergelar suami isteri.
Firzanah ketawa kecil mendengar pertanyaan itu.
” Abang rasa kenapa?” soal Firzanah kembali sambil memandang tepat mata suaminya.
” Erm.. sebab sayang terharu kot, abang dermakan hati abang?”
Berkerut dahi Firzanah, dan pantas dia menggeleng.
” Nope. Salah sama sekali. Kalau semata-mata sebab tu, sayang tak ikhlaslah kawin dengan abang. Hanya sebagai tanda terima kasih? Hurm… tak patut, tak patut”
Firzanah menggerakkan jarinya telunjuknya ke kiri dan kanan sambil menggeleng kepala.
” Jadi, kenapa?”
Firzanah tersenyum lebar.
” Sebabnya di sini” ucap Firzanah sambil memegang dadanya.
” Rasa cinta yang dititipkan Allah buat abang. Sebelum abang menjadi penderma hati buat sayang, sayang selalu ada rasa rindu dalam hati ni. Tak tahu sebab apa. Hampir setiap malam jiwa sayang resah, gelisah. Merindui sesuatu yang sayang sendiri tak pasti apakah ia. Jadi, pada Allah sayang berdoa, agar hilangkan resah itu, dan sampaikan rasa rindu yang sayang rasakan, pada diri yang berhak menerimanya”
Terdiam Farhan mendengarnya, kerana dia juga mengalami peristiwa yang sama seperti isterinya itu.
” Seminggu lepas tu, umi khabarkan , abang penderma hati, yang sesuai. Waktu tu, hati sayang tak semena sebak , dan rasa rindu yang mengasak dada, terasa hilang dan diganti dengan cinta yang mendalam. Semua ni aturan Allah bang. Abang ikhlas mencintai sayang, dan melalui aturan Allah, cinta itu turun ke hati dan jiwa sayang.Ikhlas kerana Allah”
Farhan tersenyum dan menarik isterinya dalam dakapan. Sebak mendengar luahan hati Firzanah. Benar mereka adalah jodoh yang diatur Allah. Dahulu dia silap langkah dalam mengejar cinta Firzanah. Kini cinta yang tulus titipan dariNya, menjadikan dia dan Firzanah bahgia melayari bahtera rumah tangga. Forever till Jannah, Insya Allah.
#maaf jika kurang menarik cerita ni… saya budak baru belajar.. salah silap tolong cepukkan.. hehehe,.. pissssss… (^_^)
No comments:
Post a Comment