Saturday, September 1, 2012

CERPEN - RELAKAN DIA MENCINTAIKU


Aku memandang sayu seekor anak kucing yang sedang mengiau kesakitan. Hatiku bagaikan ditusuk sembilu. Air mata yang bergenang di tubir mata aku kesat dengan hujung jari manisku. Hujung tudungku yang mengikut alunan angin aku biarkan saja.

“Kucing, kenapa manusia kejam?” Aku menjeling Toyota Prius berwarna putih metalik yang berhenti tidak jauh dari tempat aku berdiri. Sepertinya aku kenal kereta itu.

Kucing yang sudah berlumuran darah itu aku angkat lalu aku usap penuh kasih sayang. Kasihan kucing yang tidak bersalah ini. Si pelanggar sudah lesap entah ke mana. Semoga dia mendapat balasan atas apa yang dia lakukan.

“Cik..”

Terus aku berpaling. Lidahku kelu seirama dengan jantungku yang berdegup kencang. Lelaki itu juga sama. Berdiri kaku dan tidak henti memandang wajahku.

“Zalfa.” Namaku diserunya lembut. Aku masih pegun di situ.

“Kenapa ni?” soalnya.

“Err. Kucing ni luka,” tuturku perlahan sambil mengusap kepala kucing itu.

Lelaki itu mendekatiku. Terlalu hampir denganku hingga jelas kedengaran desahan nafasnya. Aku mengundur beberapa langkah ke belakang. Dia memandangku seketika sebelum turut menapak ke belakang.

“Jom saya bawa ke klinik!”

Aku tiada pilihan saat ini. Lantas aku hanya diam tanpa kata.

Sepanjang perjalanan, aku hanya membisu. Membuang pandang ke luar tingkap. Kucing yang berada di dalam pelukanku sudah terlena. Entah mengapa aku berasa perjalanan ke klinik haiwan sungguh lama. Lelaki tampan di sebelahku aku lihat begitu khusyuk dengan pemanduannya.

Dua minggu lalu, aku bertemu dengannya. Ya! Bertemu secara tidak sengaja. Aku hairan kenapa lelaki ini berada di Kedah dan bukannya di Kuala Lumpur. Tengku Khalish Eshan. Lelaki yang berjaya mencuri hatiku dalam diam. Lelaki yang berjaya mengingatkan aku dengan memori lama yang sungguh menyakitkan. Ah! Persetankan semua itu.

“Kau sihat?”

“Sihat.”

Bibirnya melemparkan senyuman kelat. Jari-jemarinya mengetuk stereng kereta di kala lampu isyarat berwarna merah.

“Kenapa tengok aku macam nak telan?” Ajunya dan mata itu terus memandang dalam anak mataku. Aku terkesima lalu menunduk malu. Wajahku merona merah.

“Saya.. saya..” Tersekat-sekat aku menjawab soalannya. Sesaat kemudian, dia menggoyangkan jarinya.

“Tak payah jawab soalan aku. Aku cuma takut aku terluka dengan jawapan tu.”

Kenyataannya membuatkan darahku tersirap. Dia bagaikan memerliku dalam diam. Ya! Dia takut dia terluka seperti dua minggu lalu. Aku menghela nafas. Menyandarkan tubuh pada kerusi kereta lalu memejamkan mata. Peristiwa itu terus berlegar-legar di fikiranku.

*****

Jalan yang berdebu aku susur dengan perasaan gembira. Mana tidaknya. Aku sudah berjanji dengan ayah untuk membawanya keluar. Tudungku yang bertiup dek angin yang kencang aku pegang erat. Jam using pada pergelangan tangan aku kerling. Sudah pukul 6 petang.

Langkahku terhenti tatkala terlihat sebuah Toyota Prius berwarna putih metalik tersadai elok di tepi jalan. Tingkapnya terbuka. Hatiku tiba-tiba digasak rasa ingin tahu. Lantas aku mendekati kereta itu. Seorang lelaki sedang terlena di tempat pemandu.

Aku mengerutkan dahi. Benarkan dia terlena?

“Kenapa encik tidur di sini?” soalku lantang tetapi tiada jawapan. Dengan menggunakan beg sandangku, aku menggerakkan lelaki itu tetapi tiada balasan. Aku mencubit sedikit bahunya tetapi dia masih menutup mata. Aku risau.

“Sakit,” ucapnya lemah. Sakit? Aku belek wajahnya. Tiada langsung luka.

“Sejuk..” Adakah dia demam? Aku meletakkan tanganku yang berlapik di atas dahinya. Panas! Apa yang harus aku lakukan?

Dompetnya di atas dashboard aku pandang. Pasti ada alamat rumahnya. Dompetnya aku buka. Telahanku benar. Tercatat alamat rumahnya. Aku menolak lelaki itu ke tempat sebelah. Giliran aku berada di tempat pemandu. Ini ialah aku. Ada lesen kereta tapi tak ada kereta.

Kereta berhenti di hadapan sebuah rumah. Bagaikan istana. Lelaki di sebelahku sedang terlena. Aku membuka pintu kereta. Mendekati pengawal keselamatan.

Aku memegang pipiku yang ditampar. Apa salahku sekarang ini?

“Kau buat apa dengan abang aku?” soalnya. Aku kenal suara ini. Adeeba! Rupa-rupanya lelaki tadi abang Tengku Natrah Adeeba.

“Saya tak buat apa. Saya cuma hantar dia balik,” terangku. Ruang tamu yang besar dan luas ini tiba-tiba bagaikan sempit dan gelap.

Menyesal pula aku rasakan kerana membantu lelaki itu tadi. Sudah 8 tahun berlalu. 8 tahun aku tidak berjumpa dengan wanita bernama Adeeba ini. Selepas aku disuruh berambus, aku terus keluar daripada sekolah itu.

Sekarang, dia muncul kembali dalam hidupku. Memegang watak sebagai seorang wanita yang kejam. Dan aku memegang watak sebagai seorang wanita yang selalu dianiayai.

“Tipu!” Jeritnya.

“Saya cakap benda benar. Kenapa awak tak pernah percayakan saya? Dulu, awak buli saya. Awak suruh saya berambus dari sekolah tu. Saya berambus. Awak nak apa lagi?”

Tiada jawapan untuk soalanku. Sebaliknya dia ketawa. Sumbang saja bunyinya. Adeeba mendekatiku. Hujung tudungku dipegangnya.

“Kau rupanya, Nurul Zalfa. Ingatkan kau dah mati. Masih hidup rupanya.”

“Ya! Saya masih hidup. Masih bernafas dan masih bahagia meskipun bahagia itu sedikit demi sedikit hilang disebabkan awak!” Lurus saja aku menudingkan jadi ke arahnya. Adeeba membengkokkan jari yang aku tuding.

“Memang! Aku bahagia bila kebahagiaan kau tu hilang. Silap aku dulu sebab buli kau sikit. Sepatutnya aku buat kau mati!”

“Kenapa awak begitu bencikan saya? Apa salah saya? Saya tak pernah kacau hidup awak,” luahku kesal.

Wanita di hadapanku ku ini masih seperti dulu. Baik dari segi gaya atau suara. Patutlah dia ini senang saja merosakkan beg sandangku. Lihat saja rumah yang didiaminya. Bagaikan istana. Jika aku bekerja seumur hidup pun belum tentu aku mampu memiliki rumah sebesar ini.

Namun aku bersyukur meskipun aku tak sekaya dirinya. Aku ada ayah. Itu sudah cukup.

“Kau nak tahu sebab apa aku bencikan kau? Kau nak tahu?”

Aku hanya terdiam.

“Sebabnya cukup mudah. Sebab abang aku cintakan kau, bodoh! Kau rampas abang aku. Masa kau belum datang sekolah tu, hidup abang aku dihabiskan bersama aku saja tapi bila kau datang, semuanya punah. Abang aku dah tak macam dulu. Semua sebab kau!”

Aku terpana. Siapakah abang Adeeba? Kenapa aku tidak pernah tahu dia mempunyai abang?

“Abang awak siapa?”

Matanya merah. Dia mencekakkan pinggang.

“Kau tanya siapa abang aku? Tengku Khalish Eshan. Abang aku tu lelaki yang kau jumpa belakang sekolah dulu. Lelaki yang bayarkan bil hospital ayah kau. Kau memang tak guna. Perempuan sial. Perempuan..” Kata-katanya tidak habis. Seorang lelaki melayangkan penampar di wajahnya. Aku tergamam.

Lelaki itu. Lelaki yang aku jumpa di belakang bangunan sekolah abang Adeeba rupanya. Lelaki yang aku cintai dalam diam. Patutlah Adeeba begitu membenciku. Aku pasti dia sangat rapat dengan abangnya sehingga tidak mampu menerima perempuan lain.

“Deeba jangan melampau. Abang tak pernah ajar Deeba hina orang.” Sudah kebahkah dia daripada demam?

Adeeba memegang pipinya. Wajahnya merah menyala. Air matanya sudah mengalir laju.

“Abang yang melampau! Sebab perempuan ni, abang pukul Deeba! Deeba benci abang. Deeba tak rela abang cintakan dia. Deeba akan pastikan perempuan ni derita!”

Terus Adeeba berlalu pergi. Meninggalkan aku dengan lelaki ini.

Aku mengambil beg sandangku di atas sofa lalu berlalu pergi. Lelaki itu mengejarku dan cepat saja dia meraih pergelangan tanganku.

“Lepaskan saya!” Keras saja suaraku.

Lelaki itu menggeleng. Aku sudah tidak mahu masuk dalam permainan Adeeba dan abangnya. Cukuplah selama ini aku dibenci.

“Lepaskan saya,” rayuku. Mataku sudah berkaca.

Mataku dipandangnya. Perlahan-lahan dia melepaskan pergelangan tanganku.

“Sebab aku lepaskan kau dulu, aku derita. Silap aku sebab biarkan adik aku buli kau. Hati aku berdarah tapi aku tak mampu buat apa-apa. Hanya mampu perhatikan kau. Hanya mampu mengucapkan kata cinta dalam diam.” Dia berjeda.

Terus aku ketawa. Memang sumbang tetapi masih cukup kuat untuk memeranjatkan dia yang hanyut dibuai perasaan.

Aku tidak layak untuk dicintai! Aku hanya seorang manusia miskin lagi hina. Jangankan untuk bersama dengan lelaki ini, hadir dalam hidupnya juga satu kesilapan yang sangat besar lagi menyeksakan. Kerana dirinya, aku derita. Tapi silap diakah untuk mencintaiku? Dan adakah silap aku juga kerana mencintai dia?

“Kenapa kau ketawa?”

Mata itu memandang mataku sebelum aku mengalihkan pandangan. Terasa degupan jantungku laju.

“Saya ketawa sebab saya rasa encik tak berguna. Sanggup menampar adik sendiri sebab orang asing dalam hidup encik. Encik, kasih sayang orang asing tu boleh diganti tapi kasih sayang keluarga sendiri takkan pernah boleh diganti.

Sakit dibuli itu telah lama lenyap dalam kegelapan. Hati encik yang berdarah tu tak mungkin saya ubatkan. Cinta encik itu mungkin hanya nafsu semata-mata!” Tingkahku.

Lelaki itu menggeleng. Lalu menyambung kata. “Aku yakin dengan cinta aku. Hati yang berdarah tu, hanya kau yang mampu ubati! Kenapa susah sangat kau nak terima cinta aku, huh?”

Aku tersenyum pahit.

“Saya takkan pernah terima cinta encik selagi ada yang tidak merelakan encik mencintai saya.” Terus aku melangkah pergi. Meredah hujan dan air mataku berjuraian keluar daripada pelupuk mata. Hatiku yang sakit aku biarkan saja. Cinta yang berbalas itu tidak mampu buatkan aku tersenyum. Biarkan masa merawat segalanya.

*****

Alhamdullilah! Kucing itu masih mempunyai peluang untuk hidup seperti sediakala. Bibirku mengukir senyuman bahagia. Sejak dari kecil lagi aku memang sukakan kucing.

“Zalfa.” Namaku diseru. Hatiku tak tentu arah. Entah kenapa jantungku berdegup kencang di saat dia menyeru namaku. Apakah ini penangan cinta?

“Ya.”

“Jom balik,” ajaknya.
Aku menggeleng. Wajahnya bertukar keruh. Biarlah kali ini aku pulang dengan bas saja. Tidak mahu menyusahkan dia lagi. Sudahlah dia yang membayar segala bil perubatan. Hendak harapkan aku, aku tidak mampu.

“Saya balik naik bas saja.” Bohongku. Ada ke bas sekarang ni?

“Tak! Aku tak benarkan! Lagipun bas mana ada sekarang ni.” Terus dia mencapai pergelangan tanganku lalu menarikku kasar ke keretanya. Tubuhku ditolak ke dalam perut kereta. Kucing yang sedang dibuai mimpi itu ternyata tidak terganggu dengan perlakuan Tengku Khalish Eshan.

Pintu kereta dikunci. Aku hanya diam. Takut sebenarnya. Lelaki ini memang nekad. Lihat saja adiknya. Mendera hati ini hinggakan hati ini bagaikan sudah mati ditelan kesakitan.

“Terima kasih.”

“Untuk apa?”

Ternyata lelaki ini masih dingin dan serius. Tapi aku selesa begini. Aku benci lelaki yang begitu tergila-gilakan wanita yang dia cintai hingga sanggup membuat apa-apa saja.

“Sebab bayarkan bil tadi. Nanti saya bayar balik.”

Lelaki itu hanya membisu. Dagunya yang bersih diusap berkali-kali.

“Aku tak nak duit kau!” Ucapnya lantang. Aku menjongketkan keningku.
Belum sempat aku bertanya, dia sudah mendahuluiku.

“Aku nak kau bayar dengan cinta kau. Boleh?”

“Berapa kali saya nak cakap? Saya takkan mencintai encik selagi ada yang tidak rela encik mencintai saya!” Tukasku keras.

Pemanduannya diteruskan meskipun suasana dingin membelenggu kami. Dia memang tenang meskipun kesakitan mencengkam hati. Namun aku lebih sukakan Tengku Khalish Eshan yang dulu. Yang tidak mudah meluahkan perasaan cinta. Yang membuatkan aku seringkali tertanya-tanya siapa dirinya.

Manusia boleh berubah, Nurul Zalfa.

“Aku terima kenyataan tu tapi kau cintakan aku tak?”

Soalannya benar-benar memerangkapku. Bibirnya mengoyak senyuman nakal. Aku memalingkan muka. Memandang kucing yang masih tidur.
Dia memandang wajahku. Sengaja memandu perlahan.

“Kenapa tak jawab soalan aku?”

“Saya tak cintakan encik,” lafazku lambat-lambat.

Lelaki itu bersiul gembira sebelum menggeleng.

“Kau tak pandai menipu. Aku tahu kau cintakan aku. Betul tak?”

“Tak ada sebab untuk saya cintakan encik.”

Jika adiknya tahu aku menumpang kereta abangnya, pasti nasib buruk akan menimpa diriku. Aku kenal Tengku Natrah Adeeba. Dia akan buat apa saja asalkan dia dapat apa yang dia mahu termasuk mendera hati ini.

Tidak sewajarnya aku berdendam dengan dia. Aku pandang hujung jari telunjukku yang berparut. Parut yang ditinggalkan Adeeba.

“Tak ada sebab juga untuk kau tak cintakan aku.” Terus lamunanku hilang ditelan kegelapan malam.

“Boleh tak encik pandu cepat sikit? Ayah saya duduk sorang-sorang!”

Aku cuba menukar topik. Lelaki itu diam sebelum meratah wajahku.

“Ayah kau sihat?”

“Sihat.”

“Baguslah. Aku tak suka mentua aku sakit,” ucapnya sangat perlahan sehingga telingaku tidak dapat menangkap kata-katanya.

“Encik kata apa?”

Dia hanya menggeleng. Sepuluh minit kemudian, aku tiba di rumah. Rasanya ayah sedang solat kerana jam kereta menunjukkan pukul 8 malam.

“Dah sampai,” ucapnya. Kelihatan dia sedang leka memandang rumahku.

“Ada masalah ke dengan rumah saya?”

“Tak.”

Aku membuka pintu kereta. Kucing yang aku kutip sebentar tadi sudah terjaga. Ayah pasti gembira dengan kedatangan kucing ini kerana dia juga sukakan kucing seperti aku.

“Terima kasih sebab hantarkan saya. Assalamualaikum.”

“Wa’alaikumsalam. Eh, kau tak nak bagi flying kiss ke?”

Penumbuk kecilku aku acukan ke muka dia. Dia ketawa besar. Aku menjelirkan lidah sebelum melangkah masuk ke dalam rumah. Hati, kenapa tidak berjaga-jaga? Lupakah aku dengan Adeeba?

Tangga rumah aku daki. Aku berpaling di saat keretanya sudah membelah kesunyian malam. Tanpa sedar, rasa cinta semakin mendalam. Tersungging senyuman mekar di bibirku.

Thursday, July 26, 2012

BAGAIMANA KITA MENYAMBUT BULAN RAMADHAN?


Ramadhan dianggap bulan termulia di dalam bulan-bulan Islam. Penurunan Al-Quran di dalam bulan Ramadhan menjadikan bulan ini sangat mulia lagi istimewa. Di dalamnya terdapat pelbagai fadilat yang harus dikejar oleh setiap umat Islam bagi mempertingkatkan kualiti keimanan dan ketaqwaan. Bulan Ramadhan juga dianggap sebagai Madrasah Kerohanian di mana pada bulan ini umat Islam diwajibkan berpuasa. Risalah kali ini akan memaparkan dua pesanan pilihan berkenaan cara kita menyambut Ramadhan.
  1. Pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz
Firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan ke atas mereka yang terdahulu daripada kamu,
moga-moga kamu bertaqwa. [al-Baqarah 2:183]
  
Di dalam bulan puasa seorang Islam dilatih mengawal diri daripada berlebih-lebihan, seperti mengawal diri daripada keinginan memuaskan syahwat (di siang hari). Mengawal diri juga memiliki banyak faedah baik dari aspek kesihatan maupun ke arah kerohanian. Di antara faedahnya adalah seorang Muslim akan merasai kelaparan yang dilalui oleh seorang Muslim lain yang tidak memiliki makan atau minum yang mencukupi sebagaimana yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di Afrika.

Bulan Ramadhan adalah bulan yang diutamakan, Allah Subhanahu wa Ta‘ala telah menurunkan Al-Quran (dalam bulan ini) dengan firmannya:

Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan
antara yang benar dengan yang salah. [al-Baqarah 2:185]
  
Di dalam bulan Ramadhan terdapat satu malam yang lebih baik daripada seribu malam sebagaimana firman-Nya:

Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar,
Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu?
Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. [al-Qadr 97:1-3]

Selain itu diampunkan dosa-dosa yang lepas bagi mereka yang berpuasa dengan penuh iman dan azam. Abu Hurairah radhiallahu 'anh berkata, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:

Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh
Allah mengampun dosa-dosanya yang telah lalu, dan barangsiapa yang bersolat pada malam Lailatul Qadar
dengan penuh iman dan berazam bersungguh-sungguh, Allah mengampunkan dosa-dosanya yang telah lalu. [Shahih Muslim – hadis no: 760]

Kewajipan berpuasa (juga mengajar kita) menjaga diri daripada perbuatan mengumpat (ghibah), mengadu, berbohong dan mendengar perkara-perkara hiburan. Ia mencegah kita daripada melakukan semua keburukan kepada memperbanyakkan membaca Al-Quran, berzikir kepada Allah, bersedekah dan bersungguh-sungguh di dalam melakukan amal ibadat khusus pada 10 terakhir bulan Ramadhan.

Demikian beberapa pesanan Shaikh Abdul Aziz bin Baz berkenaan hikmah dan keutamaan bulan Ramadhan.
  1. Pesanan Dr Ahmad Abu Halabiah - ahli majlis tertinggi fatwa Palestine
Terdapat beberapa adab yang perlu diperhatikan dalam bulan Ramadhan. Adab-adab tersebut adalah:

Pertama:
Sabar ke atas musibah dan kecaman yang menimpa. Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam  mengajar kita bahawa pada hari Ramadhan, jika seseorang menyakitkan hati atau mencela kita maka katakanlah: “Sesungguhnya aku sedang berpuasa... sesungguhnya aku sedang berpuasa.”

Kedua:
Digalakkan bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta‘ala kerana Ramadhan merupakan bulan ketaqwaan sebagai
mana firman-Nya:

Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan keatas kamu berpuasa
sebagaimana diwajibkan keatas orang yang terdahulu daripada kamu moga-moga kamu bertaqwa.
[al-Baqarah 2:183]

Ketiga:
Menjaga diri daripada mengumpat dan mengadu domba (gossip) kerana ia adalah perbuatan yang diharamkan secara mutlak sama ada di dalam bulan Ramadhan atau selain Ramadhan, akan tetapi pengharamannya diberi penekanan yang lebih jelas dalam Ramadhan.

Keempat:
Sentiasa mengingati amalan agama, hal-ehwal sesama Islam dan membantu sesama Muslim menyelesaikan masalah, Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sesiapa yang tidak memikirkan urusan umat Islam maka tidaklah dia termasuk golongan mereka.

Kelima:
Dalam bulan yang mulia ini dianjurkan mengambil tahu hal ehwal keluarga kerana mereka itu adalah amanah dan bebanan (tanggung-jawab) kita sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka
yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu. [al-Tahrim 66:06]

Selain itu saya menasihatkan diri saya dan semua saudara-saudara Islam agar dimanfaatkan bulan Ramadhan dengan amalan-amalan yang baik berikut:
Menjaga solat berjemaah bagi lelaki di masjid, dan bagi wanita pula menunaikan solat Jumaat dan menghadiri majlis ilmu.

Menghadiri solat tarawih khasnya bagi lelaki dan tiada larangan bagi kehadiran wanita (di masjid) jika mereka ingin melakukan solat dan kepada mereka terdapat ganjaran.

Memelihara solat malam (qiamullail) dan tahajud setelah pertengahan malam bagi lelaki dan wanita yang berkemampuan di dalam rumah.

Beriktikaf untuk beberapa malam di bulan Ramadhan di masjid bagi lelaki tanpa menyebabkan gangguan di dalam kewajipan seharian khususnya bagi mereka yang mencari rezeki.

Memelihara pembacaan Al-Quran dan menggunakannya sebagai zikir harian. Pembacaan Al-Quran sekurang-kurangnya hendaklah setiap hari sehinggalah tamat keseluruhannya.

Memperbanyakkan sedekah dan mengeluarkan zakat kepada orang-orang fakir, miskin, orang yang memerlukan, mereka yang berjihad di jalan Allah dan sumbangan kepada projek yang baik bagi kegunaan orang Islam seperti pembaikan masjid, pusat rawatan orang-orang tua, sekolah-sekolah dan lain-lainnya.

Merapatkan silaturahim dan memperbanyakkan ziarah di dalam bulan Ramadhan.

Dilarang melakukan kejahatan dan keburukan terhadap orang Islam secara umum dan jiran-jiran secara khusus. Pesan Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:
Seorang muslim ialah orang yang selamat lidah dan tangannya terhadap muslim yang lain.
  • Majmu' al-Fatawa (http://www.binbaz.org.sa/Display.asp?f=Bz00239.htm)
  • Shahih Muslim – hadis no: 760 (Kitab Solat musafir dan qasar, Bab Anjuran qiyam Ramadhan)
  • Adab didalam Bulan Ramadhan. Live Fatwa (31-10-2002) IslamOnline, 2002.(http://www.islamonline.net/livefatwa/arabic/Browse.asp?hGuestID=8I3Ww6)
  • Rujuk Shahih al-Bukhari – hadis no: 1904 (Kitab Puasa, Bab Mengatakan “Aku berpuasa” apabila dicela)
Ini berdasarkan sabda Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam:

لَيْسَ الصِّيَامُ مِنَ الأَكْلِ وَالشُّرْبِ، إِنَّمَا الصَّيَامُ مِنَ اللَّغْوِ وَالرَّفَثِ.


Bukanlah puasa itu sekadar menahan diri daripada makan dan minum akan tetapi menahan diri daripada perkataan sia-sia dan kotor. [Hadis ini dikeluarkan oleh al-Hakim dan dinilai sahih oleh Syaikh al-Albani dalam Shahih al-Jami’ al-Shagheir – hadis no: 5376]


Larangan mengumpat dan mengadu domba tidak sahaja terhad kepada bulan Ramadhan tetapi berlaku umum untuk setiap masa dan tempat. Penekanan diberi dalam bulan Ramadhan sebagai latihan dan ulang-peringatan. 


Firman Allah:
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) mungkin puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka;


Dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.


Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.


Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujerat 49:11-12]
  • Rujuk al-Mu’jam al-Ausath oleh al-Thabarani, hadis no: 7473. Penyemak kitab ini, Shaikh Mahmud Hasan Ismail menilai sanadnya sebagai bertaraf hasan.
  • Maksudnya tidak disyorkan berjaga di malam hari sehingga menyebabkan seseorang itu mengantuk dan tidak dapat menjalankan tugas yang diamanahkan kepadanya pada esok hari.
  • Rujuk Shahih Muslim – hadis no: 41 (Kitab Iman).

Wednesday, July 25, 2012

NOVEL : KERANA FACEBOOK....


Hanya celoteh daripada DJ radio sahaja yang kedengaran di dalam kereta Kancil tersebut manakala pemandu berserta penumpangnya hanya senyap tanpa berbicara apa-apa. Farah yang berasa janggal dengan keadaan yang senyap itu cuba untuk memecahkan kesunyian tersebut. Otaknya ligat berfikir mencari idea untuk di bualkan dengan Arif yg sedang fokus memandang ke arah jalan raya. ‘Macam dia pulak yang bawa kereta..fokus bukan main lagi’, bisik Farah di dalam hati.

“Er…kita nak pergi mana ni?”soal Farah takut-takut. Bukan takut tapi lebih kepada malu sebenarnya. Dup dap dup dap jantung Farah ketika itu. Alahai.

Arif yang mendengar segera memberi reaksi pada pertanyaan Farah dengan memusing badannya ke belakang. “Kalau kita pergi makan dulu boleh tak? Lapar la, tak makan lagi ni, Akmal pun tak makan lagi, kan Mal?ujar Arif sambil menepuk bahu Akmal sedikit. Akmal yang sedang memandu sekadar mengangguk tanda mengiyakan pertanyaan Arif sebentar tadi.

“Kalau macam tu kita pergi makan la. Kita dua pun belum makan lagi la, tak sempat nak makan tadi, hari ni kelas full daripada pagi sampai petang. Makan biskut je tadi, kurus la kalau hari-hari macam ni”,luah Farah jujur.

Kata-katanya disambut dengan gelak ketawa Arif dan Haliza. “Bagus ape macam tu Farah, kau boleh kurus tak payah nak beriya diet, duit pun jimat kan,” usik Haliza kepada rakannya yang kelihatan pelik apabila mereka mentertawakan dirinya sebentar tadi.

“Ceh, kuang asam la kau, syhhh!!”ujarnya sambil membuat isyarat tangan tanda senyap. Farah memandang ke hadapan kembali dan dihadiahkan sebuah senyuman kepada Arif menutup malu kerana Arif daripada tadi asyik memandang ke arahnya yang sedang berbalah dengan Haliza. ‘Malu pulak mamat ni dok pandang dari tadi’

Seketika kemudian kereta yang dipandu tiba ke destinasi pilihan atau lebih tepat lagi di kedai makan pilihan Arif dan Akmal. Farah dan Haliza sekadar menurut sahaja rentak mereka berdua. Menumpang kereta orang tak kan nak banyak cakap pulak kan. ‘Orang bawa pergi kedai makan bukannya bawak pergi tempat tak elok yang kau nak kecoh-kecoh Farah oii’.

Setelah memesan makanan dan minuman pilihan, mereka berempat berbual-bual sementara menunggu pesanan mereka tiba. Pelbagai topik dibualkan, daripada hal assignment, kelas, lecturer dan sebagainya. Percakapan mereka tiada lagi tanda-tanda kekok atau malu-malu sebaliknya seperti orang yang sudah lama kenal. Kecoh bukan main lagi mereka berbual dan ianya terhenti apabila makanan sampai. Masing-masing hanya fokus pada makanan dan sesekali kedengaran suara mereka memuji masakan yang dimakan mereka.

Selesai makan dan membayar harga makanan mereka beredar ke kereta dan mula menuju ke tempat lain. Destinasi pilihan pada malam minggu ni mesti la di Teluk Cempedak. Tempat yang tidak pernah lekang dengan pengunjung tambahan lagi pada malam minggu macam ni lagi lah padatnya orang. Meriah suasana dengan pelbagai karenah pengunjung.

Farah dan Haliza tersenyum memerhati gelagat manusia di pantai tersebut. Macam-macam ragam orang pun ada, tergelak-gelak mereka memerhati gelagat pengunjung yang bermain ‘control car’ di atas pasir. ‘Atas pasir lekat la tayar tu oii’omel Haliza.

“Eh, kau orang dua tidur mana malam ni? Nak balik hostel memang tak lepas dah ni?” soal Akmal tiba-tiba ketika Farah dan Haliza sedang kusyuk memerhati pemain ‘control car’ tersebut.

Farah tersenyum sebentar sebelum menjawab pertanyaan Akmal. “Kita dua tumpang tidur rumah kawan sekelas dekat Semambu tu malam ni. Kita dah cakap kat dia kita dua nak tumpang malam ni lagipun esok nak bincang pasal presentation. Haliza mengangguk tanda mengiya kan kata-kata Farah sebentar tadi.

Arif kelihatan mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham dengan penjelasan Farah. “Saya nak hantar balik pukul berapa ni?”soalnya kemudian.

“Erm….lepas ni balik la..tumpang rumah orang tak kan nak balik lambat-lambat, orang bagi tumpang pun dah nasib baik dah tu”, ujar Haliza kembali. Farah tersenyum memandang Haliza.

“Tahu pun, buatnya kawan awak tu tak jadi bagi tumpang mula la awak meroyan”, usik Akmal kepada Haliza. Farah tersenyum memandang Akmal dan Haliza, daripada tadi asyik nak bertekak je budak berdua ni..huhuhu..

Setelah puas berada di situ mereka mengambil keputusan untuk pulang ke rumah masing-masing, lagipun kawan sekelas Farah dan Haliza asyik bertanya bila mereka akan sampai ke rumahnya. Daripada sibuk membalas mesej lebih baik mereka segera tiba ke rumahnya, habis cerita jimat kredit.

Selepas selamat menghantar Farah dan Haliza ke rumah kawan mereka, Arif dan Akmal bertolak pulang ke rumah sewa mereka. Mata pun dah mengantuk ni, nampak bantal dengan tilam je ni, sungut Akmal kepada Arif yang senyap di sebelahnya.

“Dah kau ni kenapa Rif? Tiba-tiba senyap je ni?soal Akmal pelik dengan sikap Arif tiba-tiba. Dikerling ke arah Arif sebentar.

“Tak ada apa-apa lah. Aku mengantuk je ni..hehehe…”,Arif cuba memberi alasan. Sedangkan hakikatnya dia senyap kerana terasa belum puas keluar bersama Farah dan Haliza. ‘Terasa sunyi pulak bila diorang dua dah tak ada’

Akmal meneruskan pemanduannya dengan cermat, karang tak pasal pulak accident malam-malam ni. Jarak rumah mereka dengan rumah kawan Farah tidak la sejauh mana tambahan pula malam-malam ni jalan lenggang cuma mata yang mengantuk membuatkan perjalanan terasa lama.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...